SC dan Bursa Malaysia Pelawa Maklum Balas Ke atas Garis Panduan dan Keperluan Penyenaraian Baru
6 Februari 2009   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) hari ini mengeluarkan kertas perundingan bagi mempelawa maklum balas orang ramai ke atas garis panduan dan keperluan yang dicadangkan bagi penyenaraian dan penjanaan dana ekuiti.

Garis panduan dan keperluan yang dicadangkan itu merupakan sebahagian daripada perubahan kepada rangka kerja pengawalseliaan yang dilaksanakan oleh SC dan Bursa Malaysia untuk meningkatkan daya saingan dan memperkukuh kedudukan pasaran ekuiti Malaysia. Perubahan tersebut termasuk pewujudan papan gabungan bagi syarikat yang terbukti prestasinya dan menukar kedudukan Pasaran MESDAQ sedia ada kepada pasaran alternatif yang dipacu tajaan bagi syarikat dari semua sektor perniagaan (MESDAQ baru). Di bawah rangka kerja baru tersebut, syarikat sedia ada yang tersenarai di Papan Utama dan Papan Kedua dicadangkan untuk berpindah kepada papan gabungan sementara syarikat yang tersenarai di Pasaran MESDAQ sedia ada, kepada MESDAQ baru.

Secara keseluruhannya, rangka kerja kawal selia yang dicadangkan bagi papan gabungan dan MESDAQ baru tersebut bertujuan memberikan penerbit akses yang lebih luas kepada pasaran modal, dan pada masa yang sama, terus melindungi kepentingan pelabur melalui standard penzahiran dan urus tadbir korporat yang ditingkatkan.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperluas dan mempelbagaikan pasaran modal Malaysia, SC dan Bursa Malaysia juga mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan komen mengenai rangka kerja yang dicadangkan bagi penyenaraian Syarikat Pemerolehan Kegunaan Khas (SPAC). Penyenaraian tersebut akan bertindak sebagai perantara bagi penjanaan dana yang akan menggalakkan lagi aktiviti korporat seperti percantuman dan pemerolehan.

SC dan Bursa Malaysia telah melaksanakan kajian tanda aras dan melibatkan pelbagai kumpulan tumpuan sebelum menyiapkan kertas perundingan ini. Sekumpulan kerja industri yang terdiri daripada pakar bidang, telah diwujudkan untuk membantu SC dan Bursa Malaysia dalam merumus rangka kerja kawal selia baru tersebut.

Peserta pasaran juga digalakkan untuk merujuk kepada kertas perundingan tersebut bagi butiran lanjut mengenai pindaan penting yang dicadangkan secara khusus kepada garis panduan SC iaitu, Guidelines on the Offering of Equity and Equity-Linked Securities (Garis Panduan Ekuiti) dan Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia.

Kertas perundingan berkaitan dengan Garis Panduan Ekuiti SC dan SPAC boleh didapati di sini manakala kertas perundingan berkaitan dengan Keperluan Penyenaraian boleh didapati di laman web Bursa Malaysia, www.bursamalaysia.com. SC dan Bursa Malaysia mempelawa maklum balas mengenai isu-isu di dalam kertas perundingan tersebut sebelum 27 Februari 2009.
DITERBITKAN BERSAMA BAGI PIHAK
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA & BURSA MALAYSIA SECURITIES BERHAD
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup