SC dan ISRA terbit buku teks “Sukuk: Principles and Practices”
3 Oktober 2017   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA) hari ini mengeluarkan satu penerbitan bersama bertajuk ‘Sukuk: Principles & Practices’ yang dilancarkan oleh Yang Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2017 di Kuala Lumpur.
Ini merupakan penerbitan kedua hasil kerjasama antara SC dan ISRA, berikutan kejayaan penerbitan bersama sebelum ini, ‘Islamic Capital Markets: Principles & Practices’ pada 2015. SC dan Khazanah Nasional Berhad merupakan penaja bersama kedua-dua inisiatif ini.

Pelancaran buku teks tersebut adalah tepat pada masanya dengan meningkatnya peranan sukuk sebagai sumber pembentukan modal penting untuk membiayai pembangunan ekonomi negara.

Malaysia terus menjadi pasaran sukuk terbesar di dunia, dengan wujudnya struktur sukuk yang inovatif, kepelbagaian penerbit dan pelabur domestik dan asing serta ketersediaan pelbagai kematangan dan denominasi mata wang. Kepentingan di peringkat global pasaran sukuk Malaysia terhasil daripada pembangunan teratur ekosistem pasaran sukuk, dan penerimaan meluas sukuk di seluruh dunia sebagai satu mekanisme untuk menjana modal dan terbukti dengan meningkatnya bilangan negara termasuk negara bukan Islam yang telahpun menerbitkan atau merancang untuk menerbitkan sukuk.

Baru-baru ini, Malaysia telah berjaya menerbitkan sukuk hijau pertama dunia di bawah rangka kerja Sukuk Pelaburan Mampan & Bertanggungjawab (SRI) SC. Sukuk hijau tersebut mengukuhkan lagi usaha negara dalam inovasi produk serta kedudukannya sebagai peneraju pasaran kewangan Islam dan cadangan nilainya sebagai pusat kewangan yang mampan.

Buku teks ‘Sukuk: Principles & Practices’ tertumpu kepada teori dan amalan yang mentadbir sukuk merentas pelbagai bidang kuasa dan mengguna pakai perspektif global ketika membincangkan perkara tersebut. Ia bertindak sebagai sumber rujukan penting kepada ahli akademik, pelajar dan pengamal untuk memperoleh lebih kefahaman mengenai sukuk dan seterusnya menyumbang ke arah pertumbuhan dan pengembangan berterusan pasaran sukuk di peringkat global.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
INTERNATIONAL SHARI’AH RESEARCH ACADEMY FOR ISLAMIC FINANCE


Ooops!
Generic Popup