SC dan Labuan FSA Jalin MOU untuk Perkukuh Kerjasama dan Kolaborasi Kawal Selia

SIARAN MEDIA BERSAMA

23 Mei 2022  |  Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) baharu untuk membuka laluan kepada kerjasama kawal selia, penguatkuasaan dan pengawasan yang lebih besar antara kedua-dua pengawal selia berkenaan.

Berikutan persekitaran perniagaan yang kian berubah serta perkembangan kawal selia dan dasar baharu, MOU tersebut adalah berasaskan dan mengukuhkan lagi Memorandum Kerjasama dan Bantuan Bersama yang ditandatangani oleh kedua-dua agensi pada 2004.

MOU tersebut, yang merangkumi aktiviti pembangunan dan pengawalseliaan pasaran modal di Malaysia, akan membolehkan SC dan Labuan FSA mengukuhkan kerjasama dalam bidang kepentingan bersama, termasuk pemantauan risiko dan meningkatkan kestabilan pasaran modal. MOU itu juga akan meningkatkan penyediaan bantuan teknikal, pembinaan kapasiti dan pertukaran maklumat antara kedua-dua pengawal selia.

Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar berkata, “Kerjasama ini merupakan inisiatif penting untuk mengembangkan pasaran modal dan mencapai kerjasama dan sinergi yang lebih besar antara SC dan Labuan FSA. Penyeliaan dan pengawasan sentiasa menjadi teras kepada mana-mana mandat pengawal selia. Peningkatan kerjasama ke arah membina persekitaran kawal selia yang kukuh, inovatif dan stabil akan memacu pertumbuhan segmen pasaran sedia ada dan baharu serta memanfaatkan pasaran, peserta dan pelabur.

“MOU ini akan membuka jalan kepada SC dan Labuan FSA untuk mengukuhkan lagi kerjasama yang telah lama terjalin, dalam memastikan pembangunan industri pasaran modal di Labuan IBFC dan landskap pasaran modal Malaysia,” menurut Pengerusi Labuan FSA Datuk Siti Zainab Omar.

MOU tersebut yang ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SC Datuk Zainal Izlan Zainal Abidi dan Datuk Siti Zainab Omar meneguhkan komitmen kedua-dua pengawal selia untuk memastikan pasaran modal Malaysia kekal relevan dan mencapai hasil yang diharapkan untuk semua pihak berkepentingan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
LEMBAGA PERKHIDMATAN KEWANGAN LABUAN

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup