SC dan Monash University Jalin Kerjasama untuk Tingkatkan Kefahaman Awal Tadbir Urus Korporat
27 Mei 2021

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) merasmikan perjanjian kerjasama dengan Monash University Malaysia untuk meningkatkan kefahaman awal mengenai prinsip dan amalan tadbir urus korporat. Kerjasama ini merupakan perkembangan yang signifikan dalam pelaksanaan keutamaan strategik SC untuk menerapkan tadbir urus korporat yang baik dalam kalangan belia.
"Salah satu keutamaan terpenting kami adalah memacu tadbir urus korporat yang baik di Malaysia, dengan melabur dalam kalangan belia dan menyokong mereka untuk mencapai potensi penuh mereka sebagai pemimpin dan ejen perubahan positif pada masa depan. Sehubungan ini, SC juga akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi yang relevan untuk membangunkan Toolkit Tadbir Urus Korporat bagi perusahaan kecil dan sederhana untuk menerapkan prinsip tadbir urus korporat yang baik di peringkat awal pertumbuhan syarikat-syarikat ini,” kata Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi SC.

Kerjasama dengan Monash akan melibatkan inisiatif penyelidikan bersama untuk memaklumkan dan memperluas proses perumusan dasar dan mengembangkan kajian akademik mengenai tadbir urus korporat.

“Monash University Malaysia mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Perkongsian ini akan meningkatkan perbincangan dan kefahaman mengenai tadbir urus korporat pada masa yang kritikal bagi komuniti perniagaan hari ini. Ini juga akan menjadi platform untuk memberi maklumat dan membimbing bakal pemimpin perniagaan pada masa depan,” menurut Profesor Pervaiz Ahmed, Ketua Sekolah Perniagaan. Ini juga akan menyelaras dan mengukuhkan misi Sekolah Perniagaan ini untuk “memberi impak yang bermakna terhadap cara perniagaan dijalankan di Asia melalui penyelidikan berkualiti tinggi, kecemerlangan pendidikan, dan libat urus yang dipertingkat bersama industri dan masyarakat,” tambah beliau.

SC berharap dapat memperluas kerjasama yang serupa dengan universiti dan institut pengajian tinggi lain. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai inisiatif tadbir urus korporat dalam pasaran modal Malaysia, sila layari laman web SC di https://www.sc.com.my/regulation/corporate-governance atau ikuti twitter SC @SecComMY untuk maklumat terkini.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
HUBUNGI KAMI
HOTLINE: +603-6204 8000
PAUTAN BERKAITAN
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia    |    Hubungi Kami    |    Penolak Tuntutan    |    Paparan laman yang lebih baik menggunakan Internet Explorer 11 dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup