SC dan Pengawal Selia Sekuriti Kemboja Sepakat Meningkatkan Kerjasama dan Pembinaan Kapasiti

SIARAN MEDIA BERSAMA

Kuala Lumpur, 28 FebruarI 2023

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pengawal Selia Sekuriti dan Bursa Kemboja (SERC) pada 27 Februari 2023 telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk memudahkan kerjasama pengawalseliaan, penguatkuasaan dan penyeliaan yang lebih luas antara kedua-dua pengawal selia. Ini berikutan globalisasi dan aktiviti rentas sempadan entiti/orang terkawal di kedua-dua negara yang semakin meningkat.

MOU tersebut yang meliputi bantuan penguatkuasaan rentas sempadan, kawal selia, dan penyeliaan pengantara pasaran modal, dan juga memudahcarakan maklumat pelesenan, akan mengukuhkan kerjasama dalam bidang kepentingan kawal selia bersama.

Di samping itu, MOU itu juga membincangkan pembangunan kapasiti dan modal insan, termasuk pertukaran kepakaran kawal selia dan pengetahuan teknikal, bagi memudahkan dan menggalakkan pembangunan pasaran modal masing-masing, seiring dengan pertumbuhan dan pembangunan berterusan kedua-dua pasaran modal Malaysia dan Kemboja.

Pengerusi SC Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata peningkatan kerjasama kawal selia antara pihak berkuasa menjadi penting apabila kesalinghubungan antara pasaran ASEAN berkembang.

“MOU ini meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua pihak berkuasa dan akan memberi manfaat bersama dalam membangun dan mengawal selia pasaran modal masing-masing”, katanya.

Ketua Pengarah SERC, H.E. En. Sou Socheat, berkata: “Dengan pemeteraian MOU ini, kerjasama antara kedua-dua pihak berkuasa dilihat amat bernilai, dan menandakan hubungan kukuh yang dipercayai dan perkongsian pengalaman dalam pelbagai bidang terutamanya pengawalseliaan dan penyeliaan. Kedua-dua pasaran akan mendapat manfaat daripada kerjasama ini yang mewujudkan faedah jangka panjang untuk rakyat dan negara dalam globalisasi pasaran kewangan ini.”

MOU itu ditandatangani oleh Dato’ Seri Dr Awang Adek Hussin dan En. Sou Socheat, dengan kehadiran pengurusan kanan dari SC dan SERC.

Berikutan pemeteraian MOU itu, pegawai kanan SC dan SERC telah mengadakan perbincangan dua hala sebagai langkah pertama dalam meneroka objektif MOU untuk memudahkan pembangunan pasaran modal masing-masing. Bidang seperti perlindungan pelabur, pembangunan kapasiti dan penawaran dan pembangunan produk telah dibincangkan. Dalam memajukan beberapa bidang ini, SC dan SERC bersetuju bahawa perundingan dengan peserta pasaran domestik akan membolehkan pihak berkepentingan menilai permintaan dan kebolehlaksanaan yang berkaitan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup