SC Dekati Pelabur Pasaran Modal di Sabah
29 Jun 2019  |  Kota Kinabalu
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan buat julung kalinya inisiatif pendidikan pelabur Malaysia Timur, 'Bersama InvestSmart® @ Borneo - Sabah 2019', yang dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal, Ketua Menteri Sabah di Imago Mall, Kota Kinabalu. Pembantu Menteri Kewangan Sabah, YB Tuan Sarifuddin Hata telah hadir mewakili Ketua Menteri Sabah.

Acara dua hari dari 29 hingga 30 Jun 2019, bertujuan untuk melengkapkan pelabur di Sabah dengan asas-asas dalam membuat keputusan pelaburan yang bijak, termasuk pengetahuan mengenai peluang pelaburan dan melindungi diri daripada skim penipuan pelaburan.

Bertemakan 'Invest Smart' atau 'Bijak Labur', acara ini mengetengahkan lebih 20 organisasi yang mengambil bahagian yang terdiri daripada pengantara pasaran modal, persatuan, pengawal selia dan agensi lain yang dihimpunkan di bawah satu bumbung.

Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar dalam ucapan alu-aluannya berkata, "Untuk mencapai kesejahteraan kewangan, rakyat Malaysia perlu mempunyai kemahiran dan pengetahuan untuk mengurus sumber kewangan mereka dengan berkesan. Untuk tujuan ini, 'Bersama InvestSmart® @ Borneo – Sabah 2019' menawarkan platform yang unik untuk pelabur mendapatkan maklumat lebih lanjut untuk membangunkan dan menguruskan kekayaan, dan membuat persediaan untuk persaraan. "

"Kami amat menekankan betapa pentingnya untuk mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak daripada menjadi mangsa skim pelaburan tidak sah. Sehubungan itu, pendidikan pelaburan memainkan peranan penting dalam mandat SC untuk memastikan perlindungan pelabur. Program celik kewangan dan pelaburan SC dirumus untuk memupuk kesedaran dan memperkasa pelabur untuk membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat," tambahnya.

Acara ini juga mengetengahkan usaha berterusan SC untuk memperluas akses pembiayaan bagi rakyat Malaysia menerusi platform pembiayaan alternatif berasaskan pasaran iaitu pendanaan ekuiti ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P). Orang ramai berpeluang untuk mempelajari tentang pembiayaan pelaburan alternatif yang mudah dan berpatutan dan produk pelaburan dan perkhidmatan yang sedia ada. Setakat akhir Mac 2019, platform pembiayaan ECF dan P2P secara kolektif telah mengumpulkan hampir RM350 juta dalam tempoh tiga tahun yang lalu, dan pada masa yang sama menyediakan pembiayaan alternatif kepada 900 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

'Bersama InvestSmart® @ Borneo – Sabah 2019' merupakan sebahagian daripada inisiatif InvestSmart® SC, program pelaburan celik kewangan yang komprehensif dan inklusif yang dilancarkan pada 2014. Sejak dari itu, SC telah mendekati pelabur di seluruh negara menerusi seminar, jerayawara, dan pembabitan masyarakat serta melalui saluran digital. Untuk maklumat lanjut mengenai acara ini, sila layari laman Facebook InvestSmart® SC dan www.investsmartsc.my.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup