SC Denda Ranhill Energy and Resources Berhad dan Tan Sri Hamdan Mohamad
8 November 2013   |   Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenakan denda sebanyak RM200,000 ke atas Ranhill Energy and Resources Berhad (Ranhill) dan mencela serta mendenda Tan Sri Hamdan Mohamad RM300,000 kerana gagal menzahirkan perubahan penting berhubung dengan penyenaraian Ranhill kepada SC.

Ranhill dan Tan Sri Hamdan, Pengarah Eksekutif/Presiden dan Ketua Eksekutif Ranhill, didapati melanggar seksyen 215(3) yang dibaca bersama seksyen 354(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, kerana gagal memaklumkan kepada SC dengan segera mengenai penggantungan lesen yang dikeluarkan oleh Petroliam Nasional Berhad kepada Perunding Ranhill Worley Sdn Bhd (PRW), iaitu sebuah syarikat di bawah kawalan Tan Sri Hamdan. Notis penggantungan itu diterima pada 17 Julai 2013.

Ranhill bergantung pada PRW bagi kontrak yang diperoleh daripada PETRONAS. Kontrak tersebut merupakan sumbangan penting terhadap hasil pendapatan Kumpulan Ranhill. Oleh sebab itu, penggantungan lesen itu dianggap sebagai perubahan penting kerana berkemungkinan menyebabkan komplikasi terhadap perniagaan minyak dan gas Ranhill. Dalam hal ini, Ranhill dan Tan Sri Hamdan dikehendaki memaklumkan kepada SC dengan segera mengenai perubahan penting tersebut di bawah seksyen 15(3) CMSA kerana penzahiran sebelum itu dalam penyenaraian prospektus Ranhill tidak lagi dianggap tepat atau mencerminkan keadaan semasa, dan berkemungkinan mengelirukan.

Dalam penzahiran perkembangan penting dalam kes ini, masa adalah amat penting memandangkan penawaran runcit dan institusi oleh Ranhill telah ditutup, tarikh penguntukan saham kepada pemohon yang berjaya semakin hampir, dan pelabur perlu diberikan peluang dan masa untuk menilai semula keputusan pelaburan masing-masing.

SC menganggap bahawa penzahiran maklumat penting yang telus dan tepat pada masanya oleh syarikat dan penganjur yang ingin menjana dana melalui IPO adalah sangat penting bagi memastikan wujudnya kepercayaan dan keyakinan dalam pasaran modal. Sehubungan itu, syarikat, penganjur dan penasihat diingatkan supaya sentiasa berhati-hati. 


SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup