SC dianugerah pensijilan MS ISO 9002 dan berjanji memberikan tahap profesionalisme dan kecekapan yang lebih tinggi dalam pengeluaran lesen

Kuala Lumpur, 13 Mac 2001

Perantara pasaran modal boleh mendapat perkhidmatan yang lebih efisien, profesional dan berkualiti daripada Jabatan Pelesenan Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang telah dianugerahkan Pensijilan Standard Pengurusan (MS) ISO 9002:1994 oleh SIRIM QAS Sdn Bhd (SIRIM QAS).

SC dianugerahkan pensijilan tersebut pada 22 Disember tahun lepas. Majlis anugerah rasmi yang dianjurkan oleh SIRIM akan diadakan di Petaling Jaya hari ini dan akan dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Law Hieng Ding.

Skop pensijilan tersebut merangkumi pengeluaran lesen kepada peserta pasaran dalam industri sekuriti dan niaga hadapan di Malaysia, iaitu, peniaga, wakil peniaga, penasihat pelaburan, wakil pelaburan, pengurus dana, wakil pengurus dana, broker niaga hadapan, wakil broker niaga hadapan, pengurus dana niaga hadapan, wakil pengurus dana niaga hadapan, penasihat dagangan niaga hadapan dan wakil penasihat dagangan niaga hadapan.

Menurut standard prestasi ISO 9002, tempoh masa tertentu telah dtetapkan bagi pemprosesan permohonan bagi lesen-lesen baru dan pembaharuan lesen. Tempoh masa tersebut adalah:
Semua permohonan korporat yang baru yang lengkap ketika penyerahan akan diproses dalam masa dua bulan.
Semua permohonan wakil yang baru yang lengkap ketika penyerahan akan diproses dalam masa tiga minggu.
Semua permohonan pembaharuan lesen yang lengkap ketika penyerahan akan diproses dalam masa tiga minggu.
Standard ISO tersebut, yang dirangka oleh International Organization of Standardization yang beribu pejabat di Geneva, merupakan spesifikasi teknikal, yang sering digunakan sebagai pengukur pengurusan berkualiti. Pensijilan tersebut adalah diperakui oleh 130 negara anggota.

Oleh kerana pensijilan tersebut dianugerahkan di bawah standard yang lama, SC akan memulakan peningkatan taraf sijilnya kepada standard ISO 9000:2000 yang telah disemak semula dalam tempoh peralihan tiga tahun.

Keputusan SC untuk mendapatkan pensijilan yang dikehendaki ini adalah sebagai respons kepada seruan Kerajaan agar standard ISO 9000 dilaksanakan dalam semua agensi kerajaan.

Pencapaian pensijilan ISO 9002 oleh SC juga adalah sejajar dengan objektif Pelan Induk Pasaran modal iaitu, antara lain, mewujudkan satu persekitaran pengawalseliaan yang dimudahcarakan bagi peserta pasaran modal Malaysia.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup