SC Fail Saman Sivil Terhadap Tiga Individu atas Kesalahan Dagangan Orang Dalam
20 Mac 2017   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga individu – iaitu Koh Tee Jin, Koh Thiam Seong dan Koh Hui Sim – atas kesalahan dagangan orang dalam yang melibatkan saham Axis Incorporation Bhd (Axis).

Dalam tindakan guaman yang difailkan pada 13 Mac 2017, SC mendakwa Koh Tee Jin telah melanggar seksyen 188 (3)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) apabila dia menyampaikan maklumat bukan awam yang material kepada Koh Thiam Seong dan Koh Hui Sim dengan mengetahui dan sedar bahawa Koh Thiam Seong dan Koh Hui Sim akan menjual saham Axis. Pada ketika itu, Koh Tee Jin adalah salah seorang pengarah Axis.

SC mendakwa bahawa maklumat material bukan awam itu merujuk kepada tindakan yang berkaitan dengan isu-isu yang tidak dapat diselesaikan berhubung dengan penyata kewangan Axis bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2008. Pengumuman yang berkaitan dengan maklumat tersebut telah dibuat pada 30 Jun 2008.

Dalam pemfailan tersebut, SC juga telah mendakwa Koh Thiam Seong dan Koh Hui Sim telah melanggar seksyen 188 (2)(a) CMSA, dengan menjual sebanyak 224,000 dan 739,800 saham Axis masing-masing pada 9 Jun 2008 dan 30 Jun 2008 semasa memiliki maklumat bukan awam tersebut.

SC sedang memohon daripada pihak defendan pembayaran sebanyak tiga kali ganda keuntungan yang diperolehi oleh Koh Thiam Seong dan Koh Hui Sim, yang mana SC mendakwa telah melakukan perdagangan semasa mempunyai maklumat dalam. SC turut menuntut penalti sivil sebanyak RM1 juta daripada setiap tiga defendan dan juga perintah mahkamah agar mereka dihalang daripada menjadi pengarah mana-mana syarikat awam tersenarai untuk tempoh lima tahun.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup