SC Fail Saman Terhadap Dua Individu Kerana Dagangan Orang Dalam
7 Januari 2016|   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) baru-baru ini memfailkan saman sivil terhadap dua individu, Teng Choon Kwang dan Tan Boon Hwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, atas kesalahan dagangan orang dalam berkaitan saham Inti Universal Holdings Bhd (Inti).

Dalam tuntutan yang difailkan pada 30 Disember 2015, SC mendakwa dua individu tersebut, yang melanggar seksyen 89E (2) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA), telah memperoleh sejumlah 305,000 saham Inti antara 13 September 2007 dan 18 September 2007 ketika mempunyai maklumat material bukan awam. Teng pada masa itu merupakan pengarah bukan eksekutif Inti.

SC mendakwa bahawa maklumat material yang disebutkan dalam tindakan itu adalah berkaitan dengan cadangan daripada Laureate Education, Inc. untuk memperoleh kepentingan kawalan dalam Inti daripada pemegang saham utamanya, Inti Supreme Holdings Sdn Bhd. Tawaran pemerolehan yang dicadangkan oleh Laureate adalah berjumlah RM126.6 juta iaitu dengan harga RM1.20 sesaham Inti. Inti telah mengumumkan cadangan pemerolehan ini kepada Bursa Malaysia pada 19 September 2007.

SC membuat tuntutan antara lain, jumlah yang perlu dibayar sebanyak RM293,502, iaitu tiga kali ganda keuntungan yang telah diperolehi oleh defendan susulan daripada pelanggaran tersebut, penalti sivil sebanyak RM1 juta dan satu perintah bagi menghalang defendan daripada dilantik sebagai pengarah dalam mana-mana syarikat awam tersenarai untuk tempoh lima tahun.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


HUBUNGI KAMI
HOTLINE: +603-6204 8000
PAUTAN BERKAITAN
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia    |    Hubungi Kami    |    Penolak Tuntutan    |    Paparan laman yang lebih baik menggunakan Internet Explorer 11 dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup