SC Galakkan Ekosistem Pasaran Modal yang Mudah Diakses, Bingkas dan Bertanggungjawab
14 Mac 2019   |   Kuala Lumpur
Pasaran modal Malaysia terus memainkan peranan penting dalam membiaya ekonomi dalam menghadapi keadaan pasaran global yang mencabar, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sempena pengumuman Laporan Tahunan 2018-nya.

"Walaupun kadang kala dipengaruhi oleh faktor-faktor ketidakpastian yang berpunca daripada ketegangan perdagangan yang semakin memuncak dan keadaan kewangan global yang menguncup, semua segmen pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan, yang memperlihatkan langkah-langkah perlindungan yang dilaksanakan oleh penggubal dasar dan peserta pasaran," menurut Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi SC.

Saiz pasaran modal kekal melebihi RM3 trilion pada penghujung tahun 2018, di mana pasaran bon berkembang sebanyak 8.8% kepada RM1.4 trilion, manakala permodalan pasaran ekuiti menguncup sebanyak 10.8% kepada RM1.7 trilion. Sementara itu, industri pengurusan dana mempunyai aset di bawah pengurusan berjumlah RM743.6 bilion, dan industri unit amanah mencatatkan nilai aset bersih sebanyak RM426.18 bilion pada 2018.

Pasaran modal terus menjadi sumber pembiayaan utama bagi ekonomi, dengan jumlah dana yang terkumpul berjumlah RM114.6 bilion. Saluran pengumpulan dana alternatif, iaitu modal teroka, ekuiti swasta, pendanaan ekuiti ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P), mengumpul pembiayaan sebanyak RM808.4 juta, menggambarkan keupayaan pasaran modal untuk memenuhi keperluan pembiayaan penerbit yang kurang diberi perhatian seperti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Malaysia kekal sebagai peneraju global dalam pasaran modal Islam (ICM) dengan ekuiti patuh Syariah dan sukuk belum tebus berjumlah RM1.9 trilion. Malaysia juga terus menjadi pasaran sukuk terbesar di dunia.

Memudah cara pertumbuhan inklusif dan mampan

Bersandarkan kekukuhan Malaysia dalam pasaran modal Islam, SC terus menerajui inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau bagi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) pada 2018. Berikutan penerbitan sukuk hijau pertama di dunia pada 2017, SC telah mewujudkan Skim Geran Hijau SRI sebanyak RM6 juta pada 2018 untuk memberi insentif kepada penerbit dengan mengimbangi sehingga 90% kos semakan luaran yang ditanggung berkaitan dengan penerbitan sukuk SRI hijau. Empat permohonan telah diluluskan, dengan dana sebanyak RM2.2 bilion yang dikumpulkan untuk memudahcarakan pembiayaan projek yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan masyarakat.

Bagi memenuhi permintaan terhadap produk dan perkhidmatan pelaburan yang mudah dan berpatutan, SC telah melesenkan pengurus pelaburan digital pertama di Malaysia pada 2018. Berdasarkan momentum yang kukuh dalam usaha untuk memudahcarakan pertumbuhan inklusif dan mampan, penyedia Fintech tambahan termasuk pengendali ECF, P2P dan bursa aset digital dan pengurus pelaburan digital dijangka akan beroperasi pada 2019.

SC juga telah memperluaskan akses pelabur runcit kepada pasaran bon dan sukuk dengan melonggarkan keperluan kawal selia bagi terbitan utama dan memperkenalkan rangka kerja bon `seasoning’’ untuk memberi pelabur runcit akses kepada bon korporat dan sukuk yang sedia ada. Langkah-langkah juga diperkenalkan pada 2018 untuk menggalakkan dagangan ekuiti, termasuk meliberalisasikan peraturan kepada pembiayaan margin dan jualan singkat intra hari.

Meningkatkan standard tatalaku dan mengekalkan integriti pasaran

Usaha-usaha SC untuk menggalakkan pertumbuhan pasaran pada 2018 juga dilengkapi dengan langkah-langkah untuk memupuk budaya tadbir urus korporat yang mantap yang dipacu di peringkat dalaman di kalangan syarikat tersenarai termasuk syarikat permodalan kecil dan sederhana.

Malaysia muncul sebagai negara yang paling banyak meraih peningkatan dalam standard tadbir urus korporatnya antara 12 pasaran di Asia, dari kedudukan keenam kepada keempat dalam tinjauan peringkat serantau yang dijalankan oleh Persatuan Tadbir Urus Korporat Asia pada 2018. Tinjauan itu mengalu-alukan usaha konsisten SC dan penggunaan pendekatan inovatif untuk menggalakkan pembaharuan tadbir urus korporat.

Pada 2018, SC mendapati penghayatan yang lebih mendalam terhadap tadbir urus korporat yang ditunjukkan menerusi pemakaian Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia seperti penzahiran imbuhan kepada pengurusan kanan dan pendekatan pengundian dua peringkat bagi pelantikan semula pengarah bebas yang sudah lama berkhidmat.

SC juga menekankan standard tatalaku pasaran yang tinggi melalui langkah pengawasan dan pemantauannya. Pada 2018, SC menjalankan kajian tematik ke atas beberapa bidang risiko seperti dagangan yang adil dan teratur, kecairan pasaran dan pengubahan wang haram. Mana-mana salah laku yang dikenal pasti, SC mengerahkan sebilangan kaedah penguatkuasaan di bawah bidang kuasa pentadbiran, sivil dan jenayah, yang telah membawa kepada sekatan yang antara lain membabitkan, lebih RM30 juta dalam bentuk pengembalian wang dan denda.

Ke arah pasaran modal yang mudah diakses, bingkas dan bertanggungjawab

Bersandarkan asas-asas ini, SC akan meneruskan agenda pertumbuhan inklusif dan mampan di samping memudahcarakan inovasi dan meningkatkan kecekapan pengawalseliaan. Ketika berkongsi wawasannya untuk pasaran modal dalam tempoh tiga tahun akan datang, Datuk Syed Zaid Albar menyebut mengenai keperluan untuk membangunkan pasaran modal dan institusi kawal selia yang boleh diakses, bingkas dan bertanggungjawab.

"Bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan pada masa hadapan, pasaran modal mesti dapat diakses oleh keseluruhan penerbit, pelabur dan pengantara. Ia juga harus bingkas dan berkembang sejajar dengan perubahan dalam landskap ekonomi serta permintaan para pengguna. Walau bagaimanapun, akses dan fleksibiliti yang lebih besar mesti disertai oleh kebertanggungjawaban yang lebih tinggi. Kami akan terus menaikkan standard tadbir urus dan tatalaku, bagi penerbit dan pengantara dalam pasaran modal," kata Datuk Syed Zaid Albar.

Beliau menambah, “Bagi SC pula, kami perlu terus memainkan peranan secara progresif, kolaboratif, terbuka untuk perbincangan dan proaktif dalam pendekatan kami dengan semua pihak berkepentingan. Pada dasarnya, SC mesti bertindak sebagai pemangkin untuk membantu pasaran untuk terus berkembang.”

Pada 2019, SC akan memberi tumpuan kepada: 
  • Mengukuhkan saluran pembiayaan alternative bagi memenuhi keperluan pembiayaan syarikat permodalan mikro, kecil dan sederhana
  • Memudahcarakan model pelaburan digital untuk menarik lebih penyertaaan pelabur 
  • Mengembangkan dan mewujudkan sinergi antara ICM dan kewangan mampan untuk menarik rangkaian penerbit dan pelabur yang lebih luas 
  • Menyemak semula rangka kerja keseluruhan pasaran utama, termasuk pendekatan kepada kelulusan IPO 
  • Menambah baik pengalaman pelabur melalui pendigitan rantaian nilai pembrokeran 
  • Menyemak semula rangka kerja pelesenan untuk lebih kelonggaran dan tindak balas terhadap model pengantaraan baharu 
  • Mengukuhkan ekosistem CG dengan memberi tumpuan kepada komposisi lembaga pengarah, aktivisme pemegang saham dan tadbir urus pengantara 
  • Mengukuhkan pengawasan dan pemantauan dalam bidang-bidang risiko, khususnya dengan meningkatnya kepentingan strategi aset-aset digital dan dagangan digital 

Laporan Tahunan SC 2018 boleh didapati di www.sc.com.my 
From left to right: 
  1. Puan Salmah Bee Mohd Mydin Director, Intermediary & Fund Supervision
  2.  Encik Kamarudin Hashim, Executive Director, Market & Corporate Supervision
  3.  Mr. Ong Liang Heng, Executive Director, Chairman’s Office 
  4.  Mr. Eugene Wong, Managing Director, Corporate Finance & Investments
  5.  Datuk Syed Zaid Albar, SC Chairman
  6.  Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive
  7.  Ms. Foo Lee Mei, Chief Regulatory Officer
  8.  Mr. Chin Wei Min, Executive Director, Innovation Digital & Strategy
  9.  Puan Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor, Executive Director, Enforcement
  10. Tengku Zarina Tengku Chik, Director, Corporate Resources
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup