Enam pengendali tersebut, Alix Global, Ata Plus, Crowdonomic, Eureeca, pitchIN and Propellar Crowd+. Mereka dijangka akan memulakan operasi mereka pada penghujung tahun 2015.
Ketika mengumumkan pengendali berdaftar di forum yang bermula hari ini, Datuk Ranjit Ajit Singh, Pengerusi SC dan Majlis Pembangunan Modal Teroka Malaysia (MVCDC) berkata, rangka kerja pendanaan masyarakat berasaskan ekuiti (ECF) merupakan satu pencapaian penting untuk keterangkuman dalam pasaran modal Malaysia.
“Mendirikan ECF merupakan salah satu daripada strategi SC untuk mendemokrasikan bidang kewangan. Sepanjang tahun-tahun kebelakangan ini, Malaysia telah membangunkan sebuah pasaran modal yang dipelbagai dan mantap dengan saiz berjumlah RM2.8 trilion, yang membantu syarikat perniagaan berkembang dan menyediakan pembiayaan untuk pelaburan jangka panjang di dalam ekonomi. Bagaimanapun, untuk pasaran modal lebih bersifat terangkum, syarikat kecil dan sederhana serta yang di peringkat permulaan mestilah berupaya memperoleh pembiayaan beasaskan pasaran. Oleh itu, telah tiba masa yang sesuai untuk memperluas akses tersebut melalui inovasi dalam teknologi kewangan seperti platform ECF ini,” kata beliau.
Pengumuman itu dibuat di Forum SCxSC 2015 yang berlangsung di SC hari ini, yang telah menarik penyertaan seramai lebih 800 orang. Ia dianjurkan melalui usaha sama dengan Maybank, Multimedia Development Corporation (MDeC), Cradle Fund, Malaysian Business Angel (MBAN) dan #edGY, sebuah penerbitan yang memberi tumpuan kepada bidang keusahawanan dan perniagaan di peringkat permulaan dalam kalangan belia.
SC mula memperkenalkan konsep pendanaan masyarakat berasaskan ekuiti sebagai satu saluran pengumpulan dana bagi orang awam di Malaysia ketika forum SCxSC yang pertama pada September 2014. Ia telah mendapat sambutan baik dan dhadiri oleh lebih 500 peserta.
Susulan itu, SC telah mengeluarkan satu garis panduan,
Guidelines on Regulation of Markets under Section 34 of the Capital Markets and Services Act 2007 bagi memperkenalkan keperluan baharu bagi pendaftaran platform ECF dan menyediakan aturan tadbir urus kepada pengendali platform berkenaan.
Pelawaan bagi pendaftaran sebagai pengendali ECF telah dikeluarkan pada Februari 2015. Sebanyak 27 permohonan untuk mengendalikan platform pendanaan masyarakat berasaskan ekuiti di Malaysia telah diterima daripada pelbagai pihak yang berminat, dari luar negara dan tempatan. Sambutan yang menggalakkan ini menunjukkan daya tarikan dan keyakinan pihak pengendali terhadap rangka kerja pengumpulan dana baharu ini.
Forum hari ini juga menyaksikan majlis menanda tangan perjanjian persefahaman (MoU) antara MDeC dan tiga daripada enam pengendali platform tersebut iaitu Crowdonomic, pitchIn dan Propellar Crowd+, untuk menjalankan program bagi menarik syarikat-syarikat ICT ke platform ECF.
Dato’ Yasmin Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MDeC berkata, “MDeC terus bekerjasama dengan rakan strategiknya dalam memudahcarakan penyelesaian dan bantuan yang berinovatif kepada syarikat-syarikat. MDeC berbangga dapat memainkan peranan penting bersama rakan strategiknya; SC, MVCA dan komuniti pelabur, dalam menjadikan pendanaan masyarakat berasaskan ekuiti suatu realiti bagi syarikat di peringkat permulaan dan SME di Malaysia.”