SC Galakkan Syarikat Perniagaan Malaysia di Luar Negara dan Syarikat Asing untuk Disenaraikan di BSKL (18 September 2003)

Kuala Lumpur, 18 September 2003

Syarikat-syarikat yang dimiliki rakyat Malaysia yang berjaya beroperasi di luar negara, dan syarikat asing yang mempunyai operasi di Malaysia seperti syarikat multinasional, kini boleh memohon untuk disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dengan polisi penyenaraian baru yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini.

Polisi baru tersebut terkandung di dalam satu set nota panduan – Nota Panduan 7A dan Nota Panduan 7B di bawah Polisi dan Garis Panduan Terbitan/Tawaran Sekuriti (Garis Panduan Terbitan) SC. Nota panduan tersebut berkuat kuasa serta merta.

Dengan liberalisasi ini, Malaysia kini mempelawa syarikat-syarikat berikut untuk disenaraikan di BSKL (lihat Jadual 1 di bawah):

  1. Syarikat yang diperbadankan di Malaysia yang mempunyai operasi substansial di luar negara dan dikawal/dimiliki oleh rakyat Malaysia;
  2. Syarikat asing yang mempunyai operasi substansial di luar negara dan dikawal/dimiliki oleh rakyat Malaysia;
  3. Syarikat asing yang mempunyai operasi substansial di Malaysia dan dikawal/dimilik oleh rakyat Malaysia; dan
  4. Syarikat asing yang mempunyai operasi substansial di Malaysia dan dikawal/dimiliki oleh rakyat asing.

Kesemua syarat penyenaraian lain juga diguna pakai kepada syarikat-syarikat ini.

“Kami mengalu-alukan syarikat multinasional dan syarikat dimiliki rakyat tempatan yang telah berjaya beroperasi di luar negara untuk disenaraikan di BSKL. Penyenaraian syarikat sedemikian akan meningkatkan kepelbagaian dan kualiti syarikat tersenarai di BSKL dan juga mengembangkan peluang pelaburan bagi pelabur,” kata Pengerusi SC Datuk Ali Abdul Kadir.

Polisi tersebut adalah sejajar dengan Cadangan 22 Pelan Induk Pasaran Modal, iaitu memperkembang penyenaraian dalam pasaran ekuiti Malaysia untuk meliputi penyenaraian syarikat asing secara beransur-ansur dan diurus dengan berhati-hati.

“Dalam merumus polisi baru tersebut, SC telah meminta dan menerima maklum balas bernilai daripada pelbagai badan industri dan agensi kerajaan,” kata beliau.

Syarikat asing hanya boleh disenaraikan di Papan Utama. Di samping itu, untuk memastikan integriti dan tahap penyertaan yang serata, syarikat asing yang memohon untuk disenaraikan mesti diperbadankan di bawah satu bidang kuasa yang diterima oleh SC. Ini bermakna bahawa syarikat tersebut hendaklah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang sama standardnya seperti di Malaysia.

Nota Panduan 7A mengandungi keperluan berkaitan dengan penyenaraian syarikat asing di BSKL sementara Nota Panduan 7B mengandungi keperluan bagi penyenaraian syarikat-syarikat yang mempunyai operasi di luar negara. Kedua-dua nota panduan tersebut menggantikan ‘Guidelines for Public Offerings of Securities of Foreign-Based Companies with Listing and Quotation on the Kuala Lumpur Stock Exchange’ yang digantung dan perenggan 7.13 dan 7.14 sedia ada Bab 7 Garis Panduan Terbitan. Nota panduan tersebut dan Garis Panduan Terbitan boleh didapati di tapak web SC di sini

Datuk Ali berkata polisi terkini ini merupakan langkah progresif ke arah liberalisasi pasaran modal. Sebelum ini, syarikat yang memohon penyenaraian di BSKL mestilah syarikat yang ditubuhkan di Malaysia dan mesti mempunyai majoriti operasinya di Malaysia. Syarikat tersebut boleh dikawal/dimiliki samada oleh rakyat Malaysia atau warga asing.

SC juga sedang mempertimbangkan liberalisasi selanjutnya, seperti penyenaraian syarikat milik asing yang majoriti operasinya di luar negara, tetapi keputusan itu bergantung kepada keadaan pasaran dan persekitaran ekonomi pada masa hadapan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup