SC Galakkan Syarikat Perniagaan Malaysia di Luar Negara dan Syarikat Asing untuk Disenaraikan di BSKL (19 September 2003)

Kuala Lumpur, 19 September 2003

Syarikat-syarikat milik rakyat Malaysia berjaya yang beroperasi di luar negara, dan syarikat asing berkualiti yang mempunyai operasi di Malaysia, kini boleh memohon untuk disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dengan pengenalan polisi penyenaraian terkini oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini.

Polisi baru tersebut terkandung di dalam Nota Panduan 7A dan Nota Panduan 7B di bawah Polisi dan Garis Panduan Terbitan/Tawaran Sekuriti (Garis Panduan Terbitan) SC. Nota panduan tersebut berkuat kuasa serta merta.

Dengan liberalisasi ini, Malaysia kini mempelawa syarikat-syarikat berikut untuk disenaraikan di BSKL (lihat Jadual 1 di bawah):

  1. Syarikat yang diperbadankan di Malaysia yang mempunyai operasi substansial di luar negara dan dikawal/dimiliki oleh rakyat Malaysia;
  2. Syarikat asing yang mempunyai operasi substansial di luar negara dan dikawal/dimiliki oleh rakyat Malaysia;
  3. Syarikat asing yang mempunyai operasi substansial di Malaysia dan dikawal/dimilik oleh rakyat Malaysia; dan
  4. Syarikat asing yang mempunyai operasi substansial di Malaysia dan dikawal/dimiliki oleh rakyat asing.

Syarikat-syarikat ini juga tertakluk kepada kesemua syarat penyenaraian lain.

“Ini adalah satu pengiktirafan kepada warga Malaysia yang berjaya di luar negara. Kelonggaran baru ini membenarkan syarikat yang dimiliki oleh warga Malaysia yang berjaya di luar negara untuk mengembangkan lagi operasi dengan mendapatkan modal daripada dalam negara. Ini tidak mengira sama ada syarikat mereka diperbadankan di dalam ataupun di luar negara. Kita harus berbangga dengan kejayaan mereka, dan pasaran modal Malaysia hendaklah terbuka kepada mereka untuk menjadikan mereka lebih kukuh,” kata Pengerusi SC Datuk Ali Abdul Kadir.

Di samping memberi pengiktirafan dan membawa balik kejayaan rakyat Malaysia, polisi baru tersebut merupakan satu liberalisasi utama kerana ia membuka peluang kepada syarikat asing yang dikawal oleh warga asing tetapi beroperasi di dalam negara untuk disenaraikan di BSKL.

“Ini ialah tambahan kepada syarikat yang diperbadankan di dalam negara yang dimiliki oleh warga asing yang beroperasi di Malaysia, yang sememangnya sudah pun dibenarkan untuk disenaraikan di BSKL,” kata beliau.

“Penyenaraian syarikat jenis sedemikian akan meningkatkan kepelbagaian dan kualiti syarikat tersenarai di BSKL dan juga mengembangkan peluang pelaburan bagi pelabur,” kata beliau.

Polisi tersebut adalah sejajar dengan Cadangan 22 Pelan Induk Pasaran Modal, yang mencadangkan pengembangan penyenaraian dalam pasaran ekuiti Malaysia untuk meliputi penyenaraian syarikat asing secara beransur-ansur dan diurus dengan berhati-hati. Dalam merumus polisi baru tersebut, SC telah meminta dan menerima maklum balas bernilai daripada pelbagai badan industri dan agensi kerajaan.

“Kita mahu BSKL kekal sebagai pasaran premium. Kita mahu syarikat kukuh, yang berkualiti; oleh itu syarikat asing hanya boleh disenaraikan di Papan Utama. Tambahan lagi, untuk memastikan integriti dan tahap penyertaan yang serata, syarikat asing yang memohon untuk disenaraikan mesti diperbadankan di bidang kuasa yang mempunyai undang-undang korporat dan penguatkuasaan yang setanding dengan Malaysia.

“Adalah penting juga bagi kita memastikan bahawa rakyat Malaysia turut menikmati manfaat daripada penyenaraian syarikat asing yang telah menjana modal daripada mereka,” kata Datuk Ali.

“Syarikat asing yang memohon untuk disenaraikan di BSKL mesti menunjukkan bahawa penyenaraian mereka akan memberikan manfaat kepada Malaysia. Dalam situasi yang mana manfaat tersebut mungkin tidak begitu ketara, syarikat tersebut hendaklah memberikan aliran pendapatan berterusan kepada pemegang sahamnya di Malaysia melalui dividen,” kata beliau.

Syarikat tersebut juga mesti mendapatkan kelulusan daripada Bank Negara Malaysia, jika perlu, bagi penggunaan hasil kutipan daripada terbitan/penawaran sekuriti.

Nota Panduan 7A mengandungi keperluan berkaitan dengan penyenaraian syarikat asing di BSKL sementara Nota Panduan 7B mengandungi keperluan bagi penyenaraian syarikat-syarikat yang mempunyai operasi di luar negara. Kedua-dua nota panduan tersebut menggantikan ‘Guidelines for Public Offerings of Securities of Foreign-Based Companies with Listing and Quotation on the Kuala Lumpur Stock Exchange’ yang digantung dan perenggan 7.13 dan 7.14 sedia ada Bab 7 Garis Panduan Terbitan. Nota panduan tersebut dan Garis Panduan Terbitan boleh didapati di sini.

Sebelum ini, syarikat yang memohon penyenaraian di BSKL mestilah syarikat yang ditubuhkan di Malaysia dan mesti mempunyai majoriti operasinya di Malaysia. Syarikat tersebut boleh dikawal/dimiliki samada oleh warga Malaysia atau warga asing.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup