Guidelines on Property Trust Funds yang disemak semula tersebut menggantikan edisi terdahulu yang diterbitkan pada 26 Jun 1995 dan boleh didapati di sini dalam bentuk PDF.
“Kami telah menyemak semula garis panduan tersebut untuk membangunkan dan meliberalisasikan tabung amanah harta di Malaysia. Dengan ini, kami berharap akan merangsangkan lagi sektor hartanah di Malaysia,” kata Pengerusi SC, Datuk Ali Abdul Kadir.
Semakan kepada garis panduan tersebut, antara lain, membenarkan tabung amanah harta dibuka kepada kumpulan pelabur yang lebih luas. SC juga meliberalisasikan had pelaburan berkenaan portfolio dan, menggalakkan lebih kelonggaran dalam peruntukan aset, kini membenarkan tabung amanah harta untuk melabur dalam kelas aset yang lebih dipelbagai, termasuk instrumen yang dibenarkan seperti aset berkaitan hartanah sebenar.
Terdapat juga perubahan kepada kriteria pihak-pihak yang dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam industri amanah harta. Kriteria kelayakan mengenai pembabitan, yang sebelum ini terbuka kepada subsidiari institusi kewangan, kini merangkumi subsidiari syarikat induk pelaburan harta dan syarikat pembangunan hartanah.
Datuk Ali berkata bahawa selain daripada liberalisasi ini, SC juga memperkenalkan keperluan ke atas tebaran dan penumpuan pelaburan untuk mewujudkan kepelbagaian risiko.
Garis panduan yang disemak semula tersebut juga mengandungi beberapa keperluan baru untuk mempertingkat tahap penzahiran dan pelaporan oleh tabung amanah harta, sejajar dengan peralihan pasaran modal kepada rejim pengawalseliaan berteraskan penzahiran yang menekankan penzahiran maklumat yang komprehensif dan bertepatan masa kepada para pelabur.