SC gesa pelabur ikut perkembangan aktiviti rombakan syarikat PN4, keluar senarai syarikat PN4 bawah Peringkat 1 dan Peringkat 2

Kuala Lumpur, 31 Julai 2002

Suruhanjaya Sekuriti (SC) menggesa pelabur agar mengikuti secara dekat syarikat-syarikat PN4 (Nota Amalan 4/2001 Bursa Saham Kuala Lumpur) dan usaha rombakan syarikat itu, ketika membuat keputusan pelaburan.

SC terutamanya, menasihatkan pelabur supaya memberi perhatian kepada syarikat PN4 yang kritikal iaitu syarikat yang sepatutnya merombak kedudukan kewangan mereka menjelang 31 Disember 2002 dan masih belum membuat pengumuman yang diperlukan mengenai pelan rombakan mereka (Peringkat 1), serta mereka yang telah membuat pengumuman yang diperlukan tetapi masih belum mengemukakan cadangan kepada SC dan pihak berkuasa berkaitan yang lain bagi kelulusan (Peringkat 2).

"Syarikat-syarikat PN4 Peringkat 1 dan Peringkat 2 ini adalah kritikal kerana jika mereka tidak mengambil langkah segera untuk merombak kedudukan mereka menjelang tempoh 31 Disember 2002, mereka boleh dinyahsenaraikan," kata Pengerusi SC Datuk Ali Abdul Kadir.

SC menganjurkan dialog tertutup dengan syarikat PN4 Peringkat 1 dan Peringkat 2 kelmarin. Ia merupakan dialog tertutup kedua yang dikendalikan oleh SC dengan syarikat PN4 - yang terakhir ialah pada bulan April tahun ini.

Untuk membantu pelabur dalam membuat keputusan pelaburan mereka, SC hari ini mengeluarkan senarai 48 syarikat PN4 yang sepatutnya mengatur semula kedudukan mereka menjelang 31 Disember 2002 dan yang masih bawah Peringkat 1 dan Peringkat 2. Senarai syarikat-syarikat ini boleh didapati di sini. SC akan mengeluarkan pengemaskinian mengenai syarikat ini setiap bulan.

Empat puluh lapan syarikat ini ialah antara 99 syarikat PN4 di BSKL seperti pada 31 Julai 2002. Lima puluh satu syarikat PN4 yang lain ialah sama ada dalam peringkat menunggu kelulusan SC atau pihak berkuasa berkaitan yang lain bagi cadangan penyusunan semula mereka (Peringkat 3), atau dalam proses pelaksanaan cadangan yang telah diluluskan (Peringkat 4), atau masih belum sampai tempoh untuk mereka membuat pengumuman yang diperlukan bagi cadangan penyusunan semula mereka.

Datuk Ali berkata, selain daripada pelanjutan tempoh untuk merombak kedudukan kewangan sehingga akhir tahun, SC juga telah memberikan beberapa kelonggaran untuk memudahcarakan dan mempercepat aktiviti pengumpulan dana dan penyusunan semula oleh syarikat PN4.

Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab syarikat PN4 sendiri untuk memenuhi kewajipan mereka secepat mungkin sebelum tarikh akhir atau syarikat ini akan menghadapi kemungkinan dinyahsenaraikan.

"Syarikat PN4" merupakan syarikat tersenarai yang terjejas yang gagal memenuhi syarat kewangan untuk meneruskan urus niaga dan penyenaraian di BSKL. Dalam konteks ini, peruntukan PN4 bertujuan untuk memastikan bahawa syarikat tersenarai yang terjejas mengambil langkah untuk merombak keadaan kewangan mereka dengan cepat dalam jangka masa yang ditetapkan. PN4 juga bertujuan untuk melindungi kepentingan pelabur dengan memastikan penzahiran maklumat yang secukupnya dibuat mengenai pelan penyusunan semula syarikat tersenarai, dan dengan mengenakan penalti terhadap syarikat tersenarai yang terjejas ini yang tidak memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan. Syarikat tersenarai yang tergolong sebagai syarikat PN4 pada atau sebelum 31 Disember 2001 telah diberikan tarikh akhir yang dilanjutkan sehingga akhir tahun untuk merombak kedudukan kewangan mereka sementara syarikat yang diklasifikasikan sebagai syarikat PN4 selepas 31 Disember 2001 mempunyai masa selama 12 bulan untuk berbuat demikian, dari tarikh syarikat mereka diklasifikasikan sebagai syarikat PN4.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup