Secara khusus, SC mengingatkan syarikat PN4 yang tertakluk kepada tarikh akhir 31 Disember 2002, iaitu hanya enam bulan lagi, untuk mempercepat usaha penyusunan semula mereka. Tarikh akhir yang dilanjutkan iaitu 31 Disember 2002, yang diumumkan oleh BSKL pada bulan November tahun lepas, dikenakan kepada semua syarikat tersenarai yang diletakkan bawah PN4 sebelum 31 Disember 2001.
Dengan ini, SC menggalakkan agar PN4 mengambil kesempatan dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan oleh SC untuk memudahcarakan proses penyusunan semula syarikat ini.
Langkah-langkah yang memudahcarakan, yang dikuatkuasakan melalui Policies and Guidelines on the Issue/ Offer of Securities (Garis Panduan Terbitan) SC, bertujuan memberikan lebih peluang bagi syarikat tersenarai bermasalah untuk memperkukuh operasi mereka.
Sehubungan ini, SC, pada 3 September 2001 telah memberikan kelonggaran kepada syarikat tersenarai bermasalah seperti keperluan keuntungan lepas bagi penyuntikan aset yang kurang ketat dan pengurangan keperluan kedudukan aset ketara bersih (NTA) selepas penyusunan semula. Ini diikuti dengan kelonggaran seterusnya yang diumumkan pada 8 Mei 2002 yang mana SC melonggarkan beberapa kriteria bagi penyuntikan aset asing dan syarikat multinasional ke dalam syarikat tersenarai di Malaysia.
SC, dalam memperakui kerumitan cadangan penyusunan semula dan konsisten dengan dasar terbukanya, mengulangi pelawaannya bagi perundingan dengan syarikat PN4 sebelum pengemukaan cadangan.
SC secara khusus telah menyatakan kesediaannya bagi perundingan sebelum pengemukaan cadangan bersama syarikat PN4 ketika satu sesi dialog tertutup bersama syarikat PN4 pada bulan April tahun ini. Dialog tersebut memberikan peluang kepada syarikat PN4 dan penasihat mereka untuk membangkitkan isu-isu umum di samping isu-isu yang dibangkitkan dalam mesyuarat kerjasama bersama SC. Ia juga membolehkan SC mendapatkan maklum balas mengenai kemajuan usaha penyusunan semula syarikat-syarikat ini.
SC juga mengingatkan syarikat PN4 dan penasihat mereka bahawa cadangan penyusunan semula hendaklah komprehensif, adil kepada semua pemegang saham dan berupaya menyelesaikan semua masalah kewangan yang dihadapi, yang merupakan pertimbangan utama SC dalam penilaiannya terhadap cadangan-cadangan penyusunan semula.
Pelabur-pelabur adalah dinasihatkan agar membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat dengan mengikuti status syarikat PN4 dan mempertimbangkan risiko yang lebih tinggi membabitkan sekuriti-sekuriti syarikat PN4.