SC: Hap2py Tidak Dibenarkan Mengendalikan P2P di Malaysia

SIARAN MEDIA

Kuala Lumpur, 22 Januari 2024

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini memberi amaran kepada orang ramai agar tidak melabur atau berurusan dengan Hap2py, platform pembiayaan antara rakan setara / peer-to-peer (P2P financing) yang tidak dibenarkan di Malaysia.

Sehingga kini, SC telah campur tangan dan mengambil beberapa tindakan terhadap Hap2py, termasuk menyenaraikan platform tersebut dalam Senarai Peringatan Pelabur SC, menyekat beberapa laman webnya dan mengeluarkan perintah henti operasi.

Walau bagaimanapun, SC mendapati Hap2py tetap terus mendekati pelabur Malaysia melalui pelbagai cara, termasuk melalui variasi laman webnya serta iklan di media sosial. Di samping itu, didapati terdapat banyak pertanyaan dan aduan terhadap entiti ini daripada orang ramai.

SC memandang serius ketidakpatuhan ini, serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya dan/atau sebarang tindakan lain yang wajar, termasuk tindakan penguatkuasaan.

Hap2py bukan Pengendali Pasaran Diiktiraf (RMO) yang dibenarkan. Ia kini mengendalikan platform P2P tanpa mendapatkan kebenaran SC sebagai RMO, yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 7(1) (e) yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta Perkhidmatan Pasaran Modal 2007.

Jika sabit kesalahan, individu atau entiti tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun, atau kedua-duanya sekali.

Oleh itu, SC menggesa pelabur dan mereka yang ingin mengumpul dana untuk tidak berurusan atau melabur melalui Hap2py.

SC menekankan kepentingan untuk pelabur hanya melabur dengan RMO yang didaftarkan dan dibenarkan oleh SC. Ini kerana RMO berdaftar telah menjalani penelitian kawal selia dan dikehendaki mematuhi garis panduan dengan ketat supaya pelabur dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia.

Pelabur yang berurusan dengan entiti tidak berlesen atau tidak dibenarkan terdedah kepada pelbagai risiko, termasuk penipuan (scam). Sekiranya berlaku pertikaian, pelabur tidak akan mendapatkan bantuan undang-undang.

Pada ketika ini, terdapat 12 RMO berdaftar untuk pembiayaan P2P seperti yang disenaraikan di sini. Hanya mereka yang tersenarai merupakan pengendali platform yang dibenarkan untuk mengendalikan P2P di Malaysia.

Pelabur digesa untuk mengesahkan kesahihan dan status individu atau syarikat yang menawarkan peluang pelaburan, terutamanya yang menjanjikan pulangan tinggi dengan sedikit atau tiada risiko, melalui Senarai Peringatan Pelabur SC.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


1 Variasi laman web Hap2py termasuk: https://hap2py.com/, https://www.hap2py.co/, https://www.hap2py.org/
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup