SC Jalin MmoU Penyeliaan pada Mesyuarat Pengawal Selia Global

Kuala Lumpur, 18 Oktober 2022

Dari sebelah kiri: Martin Moloney (Setiausaha Agung IOSCO ), Dr Awang Adek Hussin (Pengerusi SC)

Dari sebelah kiri: Raluca Tircoci-Craciun (Ketua Pertumbuhan dan Pasaran Baru, Pemantauan Pelaksanaan dan Penasihat Dasar Kanan IOSCO)  Martin Moloney (Setiausaha Agung IOSCO), Dr Awang Adek Hussin (PengerusiSC), Takashi Nagaoka (Pengerusi Jawatankuasa Serantau Asia Pasifik IOSCO)

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menandatangani Memorandum Persefahaman Pelbagai Hala untuk Kerjasama Penyeliaan (MMoU Penyeliaan) Jawatankuasa Serantau Asia Pasifik (APRC) IOSCO pada Mesyuarat Tahunan Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (IOSCO) 2022 di Maghribi pada 17 Oktober 2022.

Berikutan aktiviti rentas sempadan dalam pasaran modal yang semakin meningkat di rantau ini, MMoU Penyeliaan ini buat pertama kalinya mewujudkan rangka kerja rasmi untuk kerjasama penyeliaan serantau di kalangan pengawal selia pasaran modal.

Dengan termeterainya MMoU Penyeliaan ini, SC kini mempunyai pengaturan kerjasama mengenai hal-hal penyeliaan dengan rakan pengawal selia serantau termasuk Australia, Hong Kong, Jepun, Singapura dan Thailand.

Pengerusi SC Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, “Kerjasama penyeliaan rentas sempadan adalah elemen utama untuk meningkatkan perlindungan pelabur. Perkongsian maklumat dengan pengawal selia serantau melalui platform ini akan mengukuhkan keupayaan penyeliaan keseluruhan SC. Syabas kepada APRC atas kepimpinan kolaboratif yang ditunjukkan dalam inisiatif ini.”

Pengerusi APRC Takashi Nagaoka berkata, "Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia kerana menjadi antara penandatangan pertama MMoU Penyeliaan APRC IOSCO. Ini adalah peristiwa penting yang akan meningkatkan kerjasama dan penyelarasan pengawal selia merentasi sempadan."

SC dilantik semula ke Lembaga IOSCO

SC juga telah dilantik semula sebagai ahli Lembaga IOSCO, badan pentadbir dan penetapan piawai yang bertanggungjawab mengetuai hala tuju dan proses penetapan piawaian mengenai isu dasar yang mempengaruhi pasaran modal global, untuk penggal 2022-2024. SC telah menjadi ahli Lembaga IOSCO sejak 2012.

Pengawal selia sekuriti global telah bertemu di Mesyuarat Tahunan IOSCO dan membincangkan kesan perkembangan antarabangsa semasa dalam sektor kewangan, termasuk risiko dan cabaran kepada pasaran modal. Barisan perwakilan telah berkongsi pandangan tentang pelbagai topik termasuk aset kripto dan digital, kewangan mampan, risiko baru dan tingkah laku pasaran runcit.

Mengenai IOSCO

Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (IOSCO) merupakan forum dasar antarabangsa terkemuka untuk pengawal selia sekuriti. Keahlian organisasi ini mengawal lebih daripada 95% pasaran sekuriti dunia di 130 bidang kuasa. SC merupakan tuan rumah IOSCO Asia-Pacific Hub di Kuala Lumpur, satu-satunya hab serantau yang ditubuhkan di luar ibu pejabat IOSCO yang bertempat di Madrid.


SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup