SC kaji kesediaan pasaran bagi pengawalseliaan berteraskan penzahiran penuh

Kuala Lumpur, 2 April 2001

Suruhanjaya Sekuriti (SC) memulakan satu kajian untuk menilai kesediaan pasaran terhadap pelaksanaan pengawalseliaan berteraskan penzahiran (DBR) penuh.

Kajian tersebut akan menyumbang input penting kepada SC bagi menentukan samada peserta pasaran bersedia untuk beralih kepada DBR penuh. Ini merupakan kajian kedua yang dijalankan oleh SC mengenai perkara ini.

Kajian persepsi pasaran pertama dijalankan pada 1999, sebelum pelaksanaan Fasa 2 DBR, menunjukkan bahawa peserta pasaran modal adalah positif secara umumnya terhadap inisiatif SC untuk menukar rangka kerja pengawalseliaan yang mentadbir terbitan, tawaran dan penyenaraian sekuriti daripada pengawalseliaan berteraskan merit (MBR) kepada DBR.

Dalam menjalankan kajian 2001, SC akan mengedarkan borang kaji selidik dan menjalankan temuduga dan perbincangan kumpulan tumpuan dengan pelbagai peserta pasaran modal termasuk syarikat tersenarai, penasihat dan para pelabur. Kajian tersebut dijangka akan disiapkan sebelum pertengahan tahun ini.

DBR merupakan pendekatan pengawalseliaan berasaskan pasaran yang bertumpu kepada kualiti maklumat yang dizahirkan oleh penerbit apabila mereka menerbitkan, menawarkan atau menyenaraikan sekuriti bagi membolehkan para pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat. Bawah DBR, pengawal selia sekuriti tidak menilai merit dan kesesuaian sesuatu penawaran.

Ini adalah berbeza daripada MBR, di mana pendekatan yang diambil oleh pengawal selia adalah dalam menilai kualiti dan merit sesuatu terbitan, tawaran atau penyenaraian sekuriti. Pengawal selia memainkan peranan antara mereka yang ingin menjana dana dan mereka yang ingin melabur.

DBR dijangka akan mempertingkatkan kecekapan dan ketelusan pasaran modal di samping mengekalkan perlindungan pelabur. Untuk menjadikan DBR efektif, standard penzahiran, ketekunan wajar dan tadbir urus korporat yang tinggi mesti diserapkan ke dalam pasaran modal.

Peralihan SC daripada MBR kepada DBR bermula pada 1996 dalam satu proses tiga fasa. SC kini berada dalam Fasa 2 peralihan tersebut, di mana, dalam mempertimbangkan permohonan bagi terbitan, tawaran dan penyenaraian sekuriti, SC tidak menilai dan campur tangan dalam perkara berikut:
Penentuan harga sekuriti yang akan diterbitkan/ditawarkan bagi semua jenis cadangan korporat, tertakluk kepada pematuhan terhadap garis panduan umum sebagaimana yang ditetapkan oleh SC;

Penilaian aset, samada bagi tujuan memasukkan lebihan penilaian semula ke dalam akaun penerbit atau sebagai asas bagi pertimbangan pembelian bagi menyokong pemerolehan oleh penerbit, bawah keadaan tertentu yang ditetapkan oleh SC; dan
Penggunaan hasil kutipan yang dijanakan daripada semua jenis penerbitan sekuriti, selagi hasil kutipan tersebut digunakan bagi aktiviti perniagaan teras penerbit.
Di samping liberalisasi dalam proses penilaian, pengawal selia sekuriti telah mempertingkatkan lagi standard penzahiran dalam dokumen awam sebagaimana yang boleh dilihat dalam keperluan SC bagi standard penzahiran yang tinggi bagi prospektus, yang mengawal selia secara langsung sejak 1 Julai 2000, dan terbitan terkini Revamped Listing Requirements Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Fasa 3 peralihan tersebut, yang menandakan pengambilan DBR penuh dan melibatkan peranan SC dalam membuat penilaian terbitan, tawaran dan penyenaraian sekuriti terutamanya daripada segi penzahiran maklumat, dijangka akan dilaksanakan pada tahun ini. Ini adalah sejajar dengan salah satu cadangan yang diketengahkan dalam Pelan Induk Pasaran Modal yang menyaksikan pelaksanaan DBR penuh pada tahun 2001 atas kesediaan dan persiapan pasaran.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup