SC Keluar Garis Panduan Penzahiran Prospektus yang Dipertingkat
30 November 2017   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan Garis Panduan Prospektus yang disemak semula sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk menggalakkan keputusan pelaburan berdasarkan maklumat.
Peningkatan ini, antara lain, termasuk memperkenalkan Ringkasan Prospektus yang berstruktur dan ringkas yang tidak melebihi 10 muka surat di bahagian permulaan prospektus dan tidak memasukkan maklumat yang sudah diperolehi oleh pelabur. Dengan ini, pelabur akan memperoleh manfaat daripada prospektus yang lebih mudah dan mesra pembaca.

Garis Panduan Prospektus tersebut juga akan menyediakan panduan khusus kepada penerbit dan penasihat utama mengenai jangkaan SC dalam pematuhan terhadap keperluan yang ditetapkan.

Semakan terhadap garis panduan tersebut telah dijalankan menurut tanda aras bidang kuasa dan melalui perundingan menyeluruh bersama pihak berkepentingan utama termasuk penasihat utama, penasihat undang-undang, akauntan pelapor, penganalisis penyelidikan dan pelabur. Semakan semula terhadap Garis Panduan Prospektus akan membantu dalam memastikan prospektus kekal dengan matlamatnya untuk menyediakan maklumat penting yang memudahkan keputusan pelaburan.

Garis panduan yang disemak semula tersebut akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2018. Walau bagaimanapun, SC akan menggalakkan penasihat utama dan penerbit untuk menerima pakai lebih awal semakan semula ini agar dapat dimanfaatkan oleh para pelabur secepat mungkin. Garis Panduan Prospektus yang disemak semula tersebut boleh didapati di www.sc.com.my.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup