SC Keluar Garis Panduan Tawaran Saham oleh Syarikat Awam Tidak Tersenarai
5 Julai 2021

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan Garis Panduan baharu, Guidelines on Offer of Shares by Unlisted Public Companies to Sophisticated Investors (Garis Panduan) yang akan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2021.
Garis Panduan tersebut bertujuan untuk melindungi minat pelabur berikutan meningkatnya pertanyaan dan aduan yang diterima oleh SC mengenai penawaran saham oleh syarikat awam tidak tersenarai (UPC), yang dipasarkan melalui panggilan telefon, seminar, rakaman video melalui media sosial atau ejen-ejen yang tidak berlesen, kepada kedua-duanya pelabur yang canggih dan tidak canggih.

Garis Panduan baharu itu menetapkan kewajipan UPC ketika menawarkan saham kepada pelabur sofistikated, termasuk keperluan bagi UPC agar hanya melantik entiti yang dilesenkan oleh SC, jika melibatkan ejen untuk memasarkan dan mempromosikan saham mereka. UPC juga perlu memastikan bahawa bakal pelabur yang mereka dekati ialah pelabur sofistikated.

Di samping itu, UPC perlu mencetak pernyataan berjaga-jaga di muka depan mana-mana memorandum maklumat (IM) yang dikeluarkan, untuk menyatakan dengan jelas bahawa semasa IM dikemukakan kepada SC, kelulusan oleh SC adalah tidak diperlukan bagi penawaran atau IM tersebut.

UPC juga dikehendaki mengemukakan pemberitahuan pascapenerbitan kepada SC untuk memudahkan pemantauan SC terhadap dana yang dikumpulkan dan penggunaan hasil kutipan.

Pelabur sofistikated adalah diingatkan agar membuat penilaian mereka sendiri berhubung penawaran saham, oleh kerana SC tidak menyemak dokumen penawaran atau promosi yang dikeluarkan oleh UPC.

UPC diingatkan bahawa penawaran saham kepada pelabur runcit tanpa prospektus merupakan pelanggaran undang-undang yang serius di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Individu yang didapati bersalah boleh dihukum denda sebanyak tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya.

Garis Panduan baharu tersebut dan Soalan Lazimnya boleh didapati di https://www.sc.com.my/regulation/guidelines/upc. Orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau curiga mengenai mana-mana individu atau syarikat yang menawarkan apa-apa saham dalam UPC boleh menghubungi Jabatan Pengguna dan Pelabur SC di tel +603 6204 8999 atau e-mel [email protected].
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup