SC Keluar Panduan Mengenai Langkah-Langkah Kesihatan dan Keselamatan Covid-19 bagi Peserta Pasaran Modal
8 Mei 2020   |   Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan panduan kepada peserta pasaran modal (Capital Market Participants atau CMP)1 , yang menggariskan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan yang harus diambil dalam merancang dan menguruskan untuk kembali beroperasi pada kapasiti penuh. Ini berikutan pengumuman Kerajaan untuk memulakan semula ekonomi bermula 4 Mei 2020 dan seterusnya.

Panduan ini bertujuan untuk membimbing CMP dalam membangunkan dan memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) dalaman yang jelas mengenai langkah-langkah kesihatan dan keselamatan, di samping SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pelbagai kementerian untuk meminimumkan risiko Covid-19 di tempat kerja mereka, yang berkaitan dengan urusan mereka dengan pekerja, ejen dan pihak luar.

Ini merangkumi keperluan minimum dan langkah tambahan yang merangkumi tiga bidang utama, iaitu tempat kerja, operasi perniagaan, dan urusan dengan pihak luar, untuk mengurangkan risiko penyebaran Covid-19 di tempat kerja. Sekiranya terdapat percanggahan antara panduan ini dengan mana-mana SOP atau arahan daripada pihak berkuasa yang berkenaan, SOP dan arahan daripada pihak berkuasa berkenaan akan diguna pakai. CMP juga hendaklah memantau perkembangan dan panduan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, MKN, Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa lain, dan di mana sesuai, memasukkannya ke dalam SOP mereka.

“Sebagai satu perkhidmatan penting, pasaran modal telah beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan. Walau bagaimanapun, CMP mesti memperkukuh prosedur keselamatan dan kebersihan mereka untuk sekurang-kurangnya mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak berkuasa bagi mewujudkan persekitaran yang selamat untuk para pekerja, ejen, pelanggan serta pihak luar yang lain,” Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi SC berkata.

CMP harus menyesuaikan SOP mereka dengan operasi perniagaan masing-masing, dan faktor-faktor lain yang relevan, dan menetapkan proses tadbir urus dan pemantauan yang sesuai, dengan mengambil kira kerumitan dan saiz operasi perniagaan mereka, bilangan cawangan dan pelanggan, struktur tadbir urus dan tempat kerja masing-masing.

Bagi memastikan akauntabiliti yang telus, CMP dikehendaki menetapkan individu khusus untuk mengumpulkan, memantau dan melaporkan kepatuhan terhadap SOP di seluruh organisasi, termasuk untuk setiap lokasi cawangan.

CMP juga dikehendaki melaporkan kepada SC mengenai status langkah-langkah kesihatan dan pengendalian operasi perniagaan mereka, apabila diminta berbuat demikian. Di samping itu, mereka dikehendaki untuk mematuhi keperluan pelaporan lain oleh Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa yang berkaitan dengan Covid-19.

Panduan lengkap tersebut boleh dimuat turun daripada laman sesawang SC di https://www.sc.com.my/covid-19/gn-sop dan pertanyaan boleh diajukan ke [email protected]

1 Merangkumi entiti dan individu yang mengambil bahagian dalam pasaran modal Malaysia, termasuk pertukaran yang diluluskan, entiti berlesen (pemegang CMSL), orang berdaftar, juruaudit berdaftar AOB, organisasi pengawalseliaan diri, pengendali pasaran yang diiktiraf dan entiti lain yang berkaitan dengan pasaran modal
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup