Seperti yang dinyatakan dalam kertas perundingan SC sebelum ini mengenai "Cadangan Rangka Kerja Pengawalseliaan bagi Penerbitan Aset Digital Melalui Tawaran Token Awal", Tawaran Token Awal membolehkan sesebuah syarikat dengan cadangan perniagaan yang inovatif untuk menjana modal, sebelum ia mampu berbuat demikian melalui pemodal teroka atau pemberi pinjaman. Ia juga membolehkan syarikat mengumpul dana tanpa menjual ekuiti mereka atau berhutang untuk membangunkan idea inovatif mereka.
“Tawaran token digital menyediakan alternatif pengumpulan dana bagi perniagaan peringkat permulaan mereka. Inisiatif ini menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (SPV2030) Malaysia dengan membantu pertumbuhan PKS dan perniagaan mikro yang disasarkan untuk menyumbang sebanyak 50% kepada KDNK Malaysia. Ia juga sejajar dengan aspirasi SPV2030 untuk mewujudkan sebanyak 30% syarikat berteknologi tinggi di Malaysia,” menurut Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi SC.
Garis Panduan ini mengambil kira maklum balas yang diterima oleh SC susulan pengeluaran kertas perundingan. Berpandukan respons yang diterima, terdapat sokongan yang menggalakkan daripada industri terhadap cadangan SC untuk memanfaatkan kepakaran pengendali platform untuk menyemak permohonan bagi terbitan token digital bagi pengumpulan dana.
Oleh itu, Garis Panduan tersebut menetapkan keperluan bagi semua tawaran token digital dilaksanakan melalui pengendali platform yang berdaftar dengan SC. Tawaran ini akan dirujuk dalam Garis Panduan tersebut sebagai Tawaran Awal Bursa (Initial Exchange Offering – IEO). Sehubungan ini, pengendali platform dikehendaki menjalankan penilaian yang diperlukan dan usaha wajar, antara lain untuk, mengesahkan perniagaan penerbit dan kelayakan dan kesesuaian lembaga pengarah penerbit, serta memahami ciri-ciri token digital. Ketika fasa pertama pelaksanaan Garis Panduan tersebut, SC akan bekerjasama dengan pengendali platform yang berkaitan untuk menilai penerbit yang layak.
Bakal-bakal penerbit juga hendaklah memenuhi keperluan tadbir urus dan modal untuk layak mengumpul dana menerusi tawaran token digital. Penerbit dikehendaki menunjukkan bahawa projek atau perniagaan yang dicadangkan menyediakan penyelesaian inovatif atau cadangan nilai digital yang terbaik kepada Malaysia.
Penerbit boleh mengumpul dana sehingga RM100 juta dan memanfaatkan pelaburan daripada pelabur runcit, sofistikated dan juga pelabur syarikat peringkat permulaan, tertakluk kepada had pelaburan yang ditetapkan dalam Garis Panduan. Setiap terbitan hendaklah disertakan dengan Kertas Putih (Whitepaper), yang menyediakan kepada pelabur, antara lain, maklumat penting mengenai penerbit, token digital dan penggunaan dana yang diperolehi melalui pelaksanaan pengumpulan dana penerbit. Selepas tawaran dilaksanakan sepenuhnya, SC akan menjalankan pemantauan pascapenerbitan ke atas penggunaan hasil.
Garis Panduan ini juga menetapkan keperluan bagi pengendali platform IEO yang ingin memudahcarakan proses IEO dan proses mendapatkan kebenaran daripada SC.
Garis Panduan ini akan dikuatkuasakan pada separuh tahun kedua 2020 bagi membolehkan bakal penerbit, pengendali platform dan pelabur untuk membiasakan diri dengan keperluan Garis Panduan tersebut.
SC ingin mengingatkan orang ramai bahawa sehingga berkuatkuasanya Garis Panduan tersebut, sesiapapun tidak dibenarkan untuk menawarkan atau menerbitkan mana-mana token digital di Malaysia.
Mereka yang ingin membuat maklum balas mengenai hal-hal yang berkaitan dengan Garis Panduan tersebut boleh menghantar emel ke
[email protected] sebelum 15 Mei 2020. Garis Panduan tersebut boleh didapati di laman sesawang SC melalui
di sini.