SC Keluarkan Garis Panduan Pasaran MESDAQ yang Baru Mengenai Keperluan Kemasukan

Menggalakkan Kualiti dan Kebolehlaburan Syarikat MESDAQ

Kuala Lumpur, 29 November 2005

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengeluarkan garis panduan bertajuk Guidelines on Initial Public Offerings and Listings on the MESDAQ Market of Bursa Malaysia Securities Berhad (Garis Panduan IPO MESDAQ), menggantikan keperluan kemasukan yang terkandung dalam Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa) bagi Pasaran MESDAQ.

Garis Panduan IPO MESDAQ yang baru tersebut boleh didapati di tapak web SC di sini dan berkuat kuasa serta merta.

Garis panduan tersebut mengekalkan objektif asal Pasaran MESDAQ yang membenarkan syarikat yang berasaskan teknologi dan pertumbuhan tinggi yang berkelayakan menjana dana daripada pasaran modal bagi perkembangan perniagaan. Setakat 28 November 2005, sejumlah 105 syarikat telah disenaraikan di Pasaran MESDAQ, menjana hampir RM1.6 bilion daripada pelaksanaan IPO. Hasil kutipan tersebut kebanyakannya telah digunakan bagi peluasan perniagaan dan penyelidikan dan inisiatif pembangunan.

Teras garis panduan terkini ini adalah untuk menggalakkan syarikat berkualiti di Bursa Malaysia dan terus mengambil peluang terhadap keunikan Pasaran MESDAQ sebagai platfom penjanaan dana bagi syarikat baru dan dinamik yang merupakan pemangkin pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Keperluan yang diperkemas dalam Garis panduan tersebut, yang bertujuan memperbaiki kebolehlaburan syarikat MESDAQ, memberikan tumpuan kepada bidang utama yang berikut:

(i) Ciri-ciri kualitatif yang perlu ditunjukkan oleh penerbit;
(ii) Proses penemuan harga dan kaedah pengagihan sekuriti;
(iii) Tadbir urus korporat, komitmen dan kebertanggungjawaban pengarah dan penganjur;
(iv) Peranan penasihat sebagai pengawal kualiti; dan
(v) Konsistensi keperluan antara Pasaran MESDAQ dan Pasaran Utama (iaitu Papan Utama dan Papan Kedua) dalam bidang yang sama kepada kedua-dua pasaran.

SC sentiasa memberikan penekanan yang lebih dalam keupayaan pelan urusan penerbit dan cadangan nilai mereka kepada pasaran.

Butiran lanjut mengenai Garis Panduan IPO MESDAQ ialah:

  • Mempertingkat kriteria kualitatif bagi menggalakkan syarikat yang lebih berkualiti tinggi
Dengan mengekalkan kriteria kuantitatif prinsipal kemasukan iaitu minimum RM2 juta modal berbayar dan tiada keperluan rekod prestasi keuntungan, garis panduan terkini ini mementingkan justifikasi penerbit dalam memperjelaskan kesesuaian mereka bagi penyenaraian dengan mempamerkan ciri-ciri kualitatif tertentu yang berkaitan dengan bentuk aktiviti perniagaan mereka dan prospek bagi pertumbuhan. Ciri-ciri kualitatif ini disenaraikan dalam nota panduan Garis panduan tersebut dan secara amnya termasuk pembabitan dalam industri yang menguntungkan dan berdaya tumbuh, berpotensi saiz pasaran industri yang berpotensi besar bagi produk atau perkhidmatan utamanya, dan mempunyai syer pasaran yang baik bagi produk atau perkhidmatan utamanya.
Di samping itu, kriteria kualitatif yang dipertingkat berikut akan diguna pakai:
(i) Syarikat berasaskan teknologi dikehendaki mempamerkan tahap komersial teknologi tersebut yang telah dicapai, serta keupayaan dan komitmen terhadap penyelidikan dan perkembangan lalu, masa kini dan akan datang. Kriteria ini adalah sebagai tambahan kepada keperluan bahawa aktiviti syarikat ini mesti berada dalam bidang teknologi yang dikenal pasti seperti antara lain, rekaan, pembangunan dan/atau pembuatan elektronik lanjutan dan teknologi maklumat, bioteknologi dan penjagaan kesihatan.
(ii) Syarikat pertumbuhan tinggi dikehendaki mematuhi keperluan kuantitatif baru bagi pemohon untuk mempunyai sekurang-kurangnya tiga tahun keuntungan operasi yang diaudit, di samping keperluan untuk mempamerkan aspek kualitatif berkaitan seperti penggunaan teknologi yang intensif dalam proses perniagaannya dan kadar pertumbuhan yang melebihi kadar pertumbuhan purata industri dan saingannya.
  • Mempertingkat proses penemuan harga dan kaedah pengagihan sekuriti
SC berhasrat untuk menggalakkan penemuan harga penawaran sekuriti yang berkesan dan efisien melalui proses `book-building' , di samping memperkenalkan keperluan yang dipertingkat bagi penawaran yang dibuat melalui penempatan.
  • Mempertingkat tahap tadbir urus korporat, pelaporan dan kebertanggungjawaban
Garis panduan yang baru tersebut menghendaki akauntan yang menyediakan pelaporan menyemak pengemukaan ramalan keuntungan dan aliran tunai. Keperluan baru ini bertujuan mempertingkat kebolehpercayaan ramalan kewangan dan pelan urusan yang dikemukakan bagi pertimbangan SC.
Seterusnya, garis panduan tersebut menghendaki pengemukaan soal selidik lanjutan, yang melaporkan kemajuan pelaksanaan pelan pembangunan perniagaan di sepanjang tempoh pelan perniagaan, pencapaian ramalan kewangan dan status penggunaan hasil kutipan.
Garis panduan tersebut mengekalkan tempoh moratorium tiga tahun bagi penganjur untuk menggalakkan komitmen penganjur ke arah mencapai pelan pembangunan perniagaan. Sehubungan dengan ini, adalah penting walaupun pemohon Pasaran MESDAQ adalah tertakluk kepada syarat keperluan rekod prestasi silam yang minimal, mereka adalah dikehendaki memenuhi janji yang dibuat di dalam dokumen permohonan iaitu pelan pembangunan perniagaan dan ramalan kewangan. Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, tindakan boleh diambil ke atas mereka seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang sekuriti dan keperluan penyenaraian.
  • Mempertingkat peranan penasihat sebagai "pengawal kualiti"
Garis panduan tersebut juga mengandungi peruntukan bagi mempertingkat peranan penasihat. Penasihat prinsipal kini dikehendaki bertindak sebagai penajajamin utama dan ejen penempatan, dan memberikan pendapat ke atas kelengkapan prosedur, sistem dan kawalan serta keupayaan pengurusan pemohon.
Peranan ini adalah sebagai tambahan kepada keperluann penasihat prinsipal untuk bertindak sebagai penaja pemohon bagi tempoh sekurang-kurangnya satu tahun di bawah Keperluan Penyenaraian Bursa bagi Pasaran MESDAQ.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup