SC keluarkan kertas respons maklum balas industri ke atas Fasa 2 CPE

Kuala Lumpur, 26 Ogos 2002

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengeluarkan Kertas Respons Maklum Balas Industri mengenai kertas perundingan bertajuk “Consultation Paper on Continuing Professional Education (CPE): Phase 2 Implementation”.

CPE ialah program untuk mendidik para profesional pasaran, dan diwajibkan bagi semua wakil berlesen. Fasa pertama CPE meliputi hanya wakil peniaga. Untuk tujuan ini, menghadiri kursus-kursus CPE telah dijadikan satu syarat bagi pembaharuan lesen wakil peniaga berkuat kuasa pada 1 Julai 2002.

SC akan melaksanakan Fasa 2 CPE pada suku pertama tahun 2003, yang akan merangkumi wakil berlesen lain termasuk wakil broker niaga hadapan, wakil pengurus dana, wakil pelaburan, wakil pengurus dana niaga hadapan dan wakil penasihat dagangan niaga hadapan.

Untuk mendapatkan maklum balas sebelum pelaksanaan Fasa 2 tersebut, SC telah mengeluarkan kertas perundingan pada bulan April 2002. Kertas Respons SC yang dikeluarkan hari ini ialah respons SC kepada maklum balas yang diterima daripada kertas perundingan tersebut. Kedua-dua kertas perundingan dan kertas respons boleh didapati di tapak web SC di www.sc.com.my.

“CPE ialah komitmen serius yang ditekankan oleh SC mengenai pendidikan dan latihan untuk menggalakkan profesionalisme pasaran, yang begitu penting dalam mengekalkan keyakinan pelabur dalam profesion itu dan integriti pasaran di Malaysia”, kata Datuk Ali.

“Kami sentiasa menekankan pendekatan melalui perundingan. Input dan maklum balas yang membina daripada pihak industri adalah amat berharga. Saya ingin mengucapkan terma kasih kepada mereka yang telah meluangkan masa untuk meneliti kertas kami itu dan mengemukakan komen,” kata Pengerusi SC, Datuk Ali Abdul Kadir.

Datuk Ali berkata perundingan terperinci bersama industri adalah penting untuk membolehkan SC memahami dengan lebih mendalam keperluan latihan pelbagai wakil berlesen. Beliau berkata cadangan daripada industri tersebut telah dipertimbangkan dengan teliti dan SC telah mengkaji dan menyemak semula draf pelan pelaksanaan Fasa 2 CPE.

Pihak yang telah memberikan maklum balas ialah Bursa Derivatif Malaysia dan persatuan industri berkaitan termasuk Persatuan Pengurus Aset Malaysia (MAAM), Persatuan Broker Niaga Hadapan Malaysia (MFBA) dan Persatuan Penganalisis Kewangan Malaysia (MSFA).

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup