SC Keluarkan Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat 2021-2023

Memberi Tumpuan Kepada Kepimpinan Lembaga Pengarah, ESG dan Perniagaan Bertanggungjawab

24 November 2021

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat 2021 – 2023 (Corporate Governance Strategic Priorities 2021 – 2023 - Keutamaan Strategik CG), antara lain, untuk meningkatkan pencapaian matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan kepimpinan lembaga pengarah. SC menggariskan 11 inisiatif yang disasarkan seperti program induksi (‘onboarding’) untuk para pengarah mengenai kemampanan, siri pendidikan pelabur berhubung tadbir urus korporat dan kemampanan, dan peningkatan kerjasama dengan universiti untuk meningkatkan kefahaman para belia mengenai isu semasa tadbir urus korporat dan kemampanan.
Keutamaan Strategik CG merupakan komponen penting Pelan Induk Pasaran Modal 3 yang dilancarkan pada September 2021 yang menyediakan hala tuju bagi pasaran modal Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang. Keutamaan Strategik CG dirumus berasaskan rancangan SC sebelumnya bagi tahun 2017 hingga 2020, di mana skor pelaksanaan sebanyak 90% telah dicapai.

Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar berkata, “Kesediaan dalam bidang ESG bukan lagi satu pilihan bagi syarikat, kerana pihak berkepentingan menjangkakan tingkah laku yang lebih bertanggungjawab, mampan dan memberi tumpuan kepada iklim. Jangkaan ini akan meningkat dari semasa ke semasa dan oleh itu, lembaga perlu bersedia dari segi ESG.”

Menyedari keperluan untuk lembaga pengarah agar cekap dan berkesan ketika menghadapi tempoh yang mencabar dan tidak menentu, SC akan melaksanakan langkah-langkah untuk menambah baik kepelbagaian lembaga pengarah, termasuk mempercepatkan penglibatan kaum wanita dalam lembaga pengarah dan dalam pengurusan kanan. Syarikat tersenarai diingatkan bahawa walaupun lembaga pengarah wajib mempunyai sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita, mereka perlu berusaha mencapai sasaran 30% pengarah wanita dalam meraih manfaat dengan mempunyai kepelbagaian dalam lembaga pengarah. Pada masa ini, hanya 162 syarikat tersenarai mempunyai sekurang-kurangnya 30% wanita dalam lembaga pengarah mereka.

Agar sesebuah syarikat kekal bertahan dan berdaya saing, semasa dan selepas pandemik, lembaga pengarahnya harus mampu memanfaatkan idea, pandangan dan penyelesaian yang berbeza daripada para pengarah. “Pengerusi Jawatankuasa Penamaan harus bertindak dan memastikan proses pemilihan dan penamaan pengarah memudahcarakan pelantikan individu yang layak dalam lembaga pengarah,” menurut Datuk Syed Zaid Albar.

Kerjasama dengan pihak berkepentingan utama akan terus memastikan kesejajaran inisiatif tadbir urus korporat di negara ini. SC kini menyediakan input teknikal dalam menyokong program PERKUKUH Kerajaan untuk menambah baik amalan tadbir urus korporat dalam kalangan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan mengoptimumkan prestasi dan sumbangan GLIC dalampembangunan negara.

Sementara itu, di samping Keutamaan Strategik CG, SC turut mengeluarkan laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat 2021 (Corporate Governance Monitor 2021) untuk sorotan kemajuan yang telah dicapai dalam pemakaian Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) edisi 2017. Tahap pemakaian kebanyakan amalan kekal positif dengan 24 daripada 36 amalan terbaik merekodkan tahap pemakaian sekurang-kurangnya 90% (2019: 23 amalan).

Tahap pemakaian yang paling rendah adalah bagi amalan yang berkaitan dengan pendedahan imbuhan kepada pengurusan kanan di mana hanya 5% daripada syarikat tersenarai mendedahkan imbuhan terperinci pengurusan kanan mereka.

"Ketelusan mengenai gaji adalah penting untuk meningkatkan kesejajaran antara gaji dan prestasi dan untuk pemegang saham menilai sama ada struktur insentif memacu tingkah laku yang sewajarnya," kata Datuk Syed Zaid Albar.

Pemantauan Tadbir Urus Korporat 2021 menampilkan tiga rencana tematik, termasuk laporan Lembaga Pemantauan Audit (AOB) SC tentang demografi jawatankuasa audit dari segi kebebasan, kepelbagaian dan kecekapan. Selain itu, AOB menekankan bahawa kriteria pemilihan juruaudit luar hendaklah meliputi antara lain, pertimbangan terhadao kebebasan, kecekapan, tahap kualiti audit dan kapasiti sumber. MCCG mengesyorkan agar Jawatankuasa Audit mempertimbangkan maklumat yang dibentangkan dalam Laporan Ketelusan Tahunan yang dikeluarkan oleh firma audit ketika menilai pelantikan dan pelantikan semula juruaudit luar.

Sepanjang April tahun ini, SC dan Institute of Corporate Directors Malaysia telah membuat Tinjauan Pengerusi untuk menilai pandangan para pengerusi mengenai keutamaan lembaga pengarah bagi tahun 2022 dan tahap dinamik lembaga pengarah mereka. Seramai 352 pengerusi syarikat tersenarai telah mengambil bahagian dalam tinjauan tersebut. Para peserta tinjauan telah mengenal pasti kesinambungan dan daya tahan perniagaan, mengurus risiko berkaitan COVID-19 serta pengurusan dan kesejahteraan kakitangan sebagai tiga keutamaan utama bagi lembaga pengarah pada 2022.

Climate Governance Malaysia turut berkongsi pandangan mereka mengenai tindakan transformatif yang perlu diambil oleh lembaga pengarah n dalam menangani perubahan iklim dalam Pemantauan Tadbir Urus Korporat 2021.

Untuk maklumat lanjut, muat turun Keutamaan Strategik CG dan Pemantauan Tadbir Urus Korporat 2021 di www.sc.com.my/cg-priorities

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup