SC keluarkan Nota Amalan

Mempertingkat Daya Saingan UB dengan Membenarkan lebih banyak Perkhidmatan yang Ditawarkan di Kemudahan Akses Elektronik

Kuala Lumpur, 16 Mei 2002

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengeluarkan satu nota amalan yang menyatakan dasar SC untuk mempertingkat lagi daya saingan Broker Universal dengan membenarkan mereka menawarkan pelbagai perkhidmatan di kemudahan akses elektronik.

"Berikutan kelonggaran ini, Broker Universal mempunyai peluang untuk mengembangkan jangkauan pasaran mereka ke seluruh negara secara berkesan dari segi kos. Kelonggaran terkini ini mempertingkat daya maju insentif SC bagi Broker Universal yang membolehkan broker ini mewujudkan kemudahan akses elektronik.

"Kami berharap insentif ini akan menggalakkan lagi pewujudan Broker Universal, dan mempercepat proses penggabungan secara keseluruhannya," kata Pengerusi SC, Datuk Ali Abdul Kadir.

Bertajuk Practice Note 1 - Guidelines on the Establishment of Electronic Access Facilities by Universal Broker (Nota Amalan), Nota Amalan tersebut melengkapi garis panduan SC bertajuk Guidelines on the Establishment of Electronic Access Facilities by Universal Broker (yang dikeluarkan pada 29 Ogos 2001). Nota Amalan tersebut telah dirumus selepas perundingan terperinci dengan Broker Universal dan ia boleh didapati di tapak web SC di sini.

Broker Universal kini bebas untuk menentukan jenis, saiz, bilangan serta lokasi kemudahan elektronik mereka. Dengan pengenalan Nota Amalan tersebut, Broker Universal boleh menjalankan aktiviti-aktiviti berikut di kemudahan akses elektronik:

" penempatan wakil peniaga, wakil broker niaga hadapan berlesen dan pemegang dwi lesen;
" pembukaan dan penutupan akaun dagangan dan/atau akaun sekuriti;
" penerimaan dan pembayaran wang pelanggan;
" pemasaran produk dan perkhidmatan kewangan yang diluluskan disediakan oleh Broker Universal; dan
" penempatan dan penggunaan terminal broker hadapan dan CDS dan/atau pengkhidmat (server) di kemudahan akses elektronik itu.

Untuk menjalankan aktiviti baru ini, Broker Universal mesti menyediakan sumber yang mencukupi, prosedur dan perlindungan kawalan dalaman serta mekanisme pematuhan yang sewajarnya untuk memastikan keselamatan transaksi dan rahsia pelanggan dipelihara.

Selain daripada insentif kemudahan akses elektronik, Broker Universal, yang diwujudkan melalui penggabungan empat buah syarikat broker saham dan yang telah mematuhi syarat-syarat yang diperlukan, dibenarkan untuk menawarkan pelbagai perkhidmatan pasaran modal serta menubuhkan cawangan tambahan di seluruh negara.

Pengenalan Nota Amalan tersebut dan Guidelines on the Establishment of Electronic Access Facilities by Universal Broker adalah sejajar dengan inisiatif Pelan Induk Pasaran Modal untuk memudahcarakan usaha-usaha menggalakkan penggunaan teknologi maklumat dan e-dagang oleh para perantara. Pada dasarnya, garis panduan dan Nota Amalan tersebut menyediakan kejelasan pengawalseliaan dan memudahcarakan inovasi melalui teknologi, dalam pasaran modal.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup