SC Kemas Kini Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia Untuk Tingkatkan Kepemimpinan Lembaga Pengarah dan Pemantauan Ke atas Kemampanan
28 April 2021  |   Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan kemas kini kepada Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG), yang menyaksikan pengenalan amalan terbaik baharu dan panduan lanjut bagi memperkukuh budaya tadbir urus korporat syarikat tersenarai. Kemas kini tahun 2021 memberi tumpuan, antara lain, dasar dan amalan lembaga pengarah mengenai proses/kriteria pemilihan dan pencalonan untuk pengarah, dan panduan lanjut bagi amalan-amalan dengan tahap pemakaian yang rendah seperti yang dilaporkan dalam laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat tahunan SC. MCCG 2021 turut memberi tumpuan kepada peranan lembaga dan pengurusan kanan dalam menangani risiko dan peluang kemampanan syarikat. Kemas kini terakhir MCCG adalah pada tahun 2017 dan SC telah memerhatikan pemakaian Kod yang menggalakkan oleh syarikat tersenarai sejak itu dengan majoriti amalan terbaik mencatatkan tahap pemakaian melebihi 70%.
Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar berkata, “Terdapat keperluan yang kukuh terhadap tadbir urus korporat dan kepemimpinan lembaga pengarah yang baik, terutamanya ketika syarikat menghadapi tempoh pemulihan pasca wabak yang berpanjangan. MCCG 2021 menyokong lembaga pengarah untuk membangunkan ketahanan jangka panjang melalui pemakaian dan pelaksanaan dasar dan amalan tadbir urus korporat yang akan menyokong syarikat tersenarai untuk menghadapi cabaran dalam persekitaran perniagaan yang pantas berubah-ubah."

MCCG 2021 juga menangani keperluan mendesak bagi syarikat untuk menguruskan risiko dan peluang Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), dengan pengenalan kepada amalan terbaik baharu yang menekankan keperluan terhadap tindakan bersama oleh lembaga pengarah dan pengurusan kanan. Komitmen global dan pencepatan usaha peralihan ke arah ekonomi sifar bersih telah menyebabkan permintaan untuk tindakan yang lebih besar oleh pihak korporat. Semakan SC mengenai pernyataan kemampanan oleh syarikat tersenarai besar mendapati bahawa beberapa syarikat telah memulakan usaha menangani risiko berkaitan iklim tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan.

Bagi menggalakkan pelaksanaan pertimbangan objektif dan bebas yang selaras dengan amalan terbaik di peringkat global, MCCG 2021 tidak menggalakkan pelantikan ahli-ahli politik yang aktif dalam lembaga syarikat tersenarai.

SC juga mendapati bahawa isu-isu yang berkaitan dengan pelantikan semula pengarah bebas yang telah lama berkhidmat tetap menjadi perhatian. Pada 31 Mac 2021, 434 pengarah bebas mempunyai tempoh perkhidmatan melebihi 12 tahun, di mana 49 pengarah bebas telah berkhidmat dalam lembaga pengarah yang sama selama melebihi 20 tahun. Untuk menggalakkan rombakan berkala komposisi lembaga pengarah, MCCG mengesyorkan agar proses pengundian dua peringkat[1] dilaksanakan untuk pelantikan semula pengarah bebas dengan tempoh perkhidmatan melebihi sembilan tahun. Proses pengundian dua peringkat yang pertama kali diperkenalkan pada 2017, bertindak sebagai satu bentuk kawalan bagi lembaga pengarah dan pemegang saham untuk menilai dengan teliti keputusan untuk mengekalkan pengarah bebas dengan tempoh perkhidmatan melebihi 12 tahun dan memberi peluang kepada pemegang saham minoriti untuk memilih untuk menentang pengekalan tersebut dalam proses pengundian peringkat kedua. Berikutan semakan kepada MCCG tersebut, Bursa Malaysia akan memperkenalkan had tempoh perkhidmatan selama 12 tahun tanpa pelanjutan bagi pengarah bebas dalam Keperluan Penyenaraian pada suku keempat 2021. Bursa akan mendapatkan maklum balas daripada penerbit tersenarai dan pihak industri sebelum memuktamadkan garis masa pelaksanaan tersebut.

Penyertaan wanita dalam lembaga pengarah ketika ini adalah sebanyak 25.3% bagi 100 syarikat tersenarai yang teratas, walaupun sasarannya adalah untuk mencapai sekurang-kurangnya 30% pada penghujung 2020. Untuk mempercepat kemajuan penyertaan wanita dalam lembaga pengarah, MCCG 2021 mengesyorkan semua syarikat tersenarai mempunyai lembaga yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 30% pengarah wanita. Edisi 2017 MCCG telah mengesyorkan mereka mempunyai 30% pengarah wanita dalam lembaga Syarikat Besar.

MCCG 2021 berkuat kuasa pada hari ini, dan kumpulan pertama syarikat yang mula melaporkan pemakaian amalan ini adalah syarikat yang tahun kewangannya berakhir pada 31 Disember 2021. Proses pengundian dua peringkat akan diguna pakai bagi resolusi yang dibentangkan pada mesyuarat agung yang diadakan pada atau selepas 2 Januari 2022.

Sebarang pertanyaan mengenai MCCG boleh diajukan kepada [email protected]. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai MCCG baharu, sila klik di sini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup