SC Kenakan Celaan dan Denda Lima Pengarah Trive Kerana Kemuka Kenyataan Palsu
4 Disember 2017   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengenakan celaan dan mendenda lima pengarah TRIVE Property Group Bhd (Trive) kerana dengan sengaja mengemukakan kenyataan palsu atau mengelirukan dalam penyata kewangan syarikat yang telah diaudit pada tahun 2014 kepada SC dan Bursa Malaysia.
Sanksi SC timbul hasil daripada penemuannya bahawa Trive telah gagal melakukan penilaian kemerosotan ke atas perbelanjaan pembangunannya yang berjumlah RM21.1 juta pada 31 Julai 2014 menurut piawaian perakaunan yang diluluskan iaitu Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 136: Kemerosotan Aset. Ini telah menyebabkan Trive dan lima pengarah melanggar Peraturan 4(1) Peraturan Perindustrian Sekuriti (Pematuhan terhadap Piawaian Perakaunan yang Diluluskan) 1999 dan seksyen 369(b)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Memandangkan beratnya kesalahan pengarah tersebut kerana gagal menjalankan tugas mereka dalam memastikan penyata kewangan yang benar dan adil dikemukakan kepada pengawal selia, SC mengenakan denda sebanyak RM2.55 juta ke atas para pengarah itu. Tiga pengarah tersebut, Wong Kok Seong, Thu Soon Shien dan Dato' Mohamad Amin Mohamad Salleh, yang pada ketika itu merupakan ahli Jawatankuasa Audit, telah didenda sebanyak RM539,000 setiap seorang. Dua pengarah lagi, Dato' Sri Dr Pang Chow Huat dan Zarul Ikhwan Zarul Ahmad didenda sebanyak RM465,500 setiap seorang.

Secara berasingan, SC mengenakan celaan terhadap Trive dan mengarahkan syarikat tersebut menangani fungsi pelaporan kewangannya. Ini termasuk arahan kepada Trive untuk melantik seorang juruaudit luar untuk menilai kecukupan fungsi pelaporan kewangan Trive.

SC mengingatkan semua syarikat tersenarai, pengarah dan ketua pegawai eksekutif agar berhati-hati dan memastikan pematuhan terhadap semua piawaian pelaporan kewangan dan keperluan penzahiran yang berkaitan pada setiap masa. SC memandang ketidakpatuhan terhadap piawaian perakaunan yang diluluskan dan keperluan penzahiran sebagai pelanggaran undang-undang yang serius. Standard pelaporan kewangan dan penzahiran yang tinggi adalah penting dalam menggalakkan integriti pasaran dan meningkatkan keyakinan pelabur.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup