SC Kenakan Celaan ke atas Syarikat Berpengkalan di China, Halang Seumur Hidup Dua Warga HK
31 Julai 2018   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengenakan celaan ke atas sebuah syarikat peralatan sukan yang berpengkalan di China, Telent Outdoor (Hong Kong) Technology Co. Ltd (Telent), dan mengenakan moratorium kekal ke atas dua pengarahnya kerana mengemukakan maklumat palsu.
Hui Tang Tat dan bapanya, Hui Chi Keung, masing-masing merupakan Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan Telent. Kedua-duanya yang warga negara Hong Kong, merupakan penganjur dan pemegang saham substansial syarikat tersebut.

Moratarium kekal tersebut akan menghalang kedua individu daripada menjadi penganjur dan terbabit dalam mana-mana cadangan korporat kepada SC, di mana mereka akan menjadi pemegang saham utama sesebuah syarikat tersenarai di Malaysia.

Halangan SC tersebut adalah susulan hasil siasatan yang mendapati Telent dan dua penganjurnya telah mengemukakan maklumat palsu atau mengelirukan dalam satu permohonan kepada SC bagi penyenaraian syarikat tersebut di Pasaran Utama bursa saham Malaysia, Bursa Malaysia, pada 2014.

SC memuji tindakan pengarah-pengarah bebas Telent atas ketegasan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Pengarah-pengarah bebas tersebu telah memberikan pandangan bebas mereka kepada siasatan yang dijalankan oleh penasihat dan turut memberi kerjasama sepenuhnya kepada SC. Tindakan proaktif mereka adalah sejajar dengan tugas dan tanggungjawab yang diharapkan sebagai pengarah bebas.

Ini merupakan kali pertama SC mengenakan moratorium kekal terhadap individu yang melanggar undang-undang sekuriti di Malaysia.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup