SC Kenakan Kompaun Maksimum Terhadap Serba Dinamik, CEO, Pengarah, dan Pegawai Kerana Kemuka Penyata Palsu kepada Bursa Malaysia

Syarikat dan empat individu dikompaun RM3 juta seorang; kompaun tambahan RM1 juta dikenakan terhadap Timbalan Presiden Akaun & Kewangan Serba Dinamik kerana memalsukan rekod perakaunan syarikat subsidiari

13 April 2022  |  Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini, dengan persetujuan bertulis daripada Pendakwa Raya dan selaras dengan kuasa dibawah Seksyen 373(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), telah mengenakan kompaun terhadap Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik), ketua pegawai eksekutif, pengarah eksekutif, dan dua orang pegawai sebanyak RM3 juta setiap seorang. Ini berikutan keputusan Pendakwa Raya menerima representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara oleh Serba Dinamik dan individu terbabit berkenaan pertuduhan yang belum diselesaikan di mahkamah.

Ini merupakan kompaun maksimum yang boleh dikenakan di bawah seksyen 369(a)(B) CMSA atas pengemukaan maklumat palsu dalam penyata kewangan syarikat. Serba Dinamik dan individu terbabit telah dikenakan pertuduhan kerana mengemukakan penyata palsu tersebut kepada Bursa Malaysia Securities Bhd pada 26 Februari 2021, berhubung dengan angka hasil sebanyak RM6.014 bilion yang terkandung dalam Laporan Suku Tahun bagi Keputusan Disatukan bagi Suku Tahun dan Tahun berakhir 31 Disember 2020.

Individu terbabit ialah ketua pegawai eksekutif/pengarah urusan kumpulan Serba Dinamik Dato’ Dr. Ir. Ts. Mohd Abdul Karim Abdullah, pengarah eksekutif Datuk Syed Nazim Syed Faisal, ketua pegawai kewangan kumpulan Azhan Azmi, dan naib presiden akaun dan kewangan Muhammad Hafiz Othman.

Muhammad Hafiz juga telah dikompaun sebanyak RM1 juta lagi, saman maksimum yang dibenarkan, kerana memalsukan rekod perakaunan syarikat subsidiari Serba Dinamik Sdn Bhd, satu kesalahan di bawah seksyen 368(1)(b)(i) CMSA. Beliau telah dikenakan pertuduhan kerana terlibat dalam mengarahkan penyediaan dokumen palsu berkaitan penjualan Serba Dinamik Sdn Bhd.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

HUBUNGI KAMI
HOTLINE: +603-6204 8000
PAUTAN BERKAITAN
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia    |    Hubungi Kami    |    Penolak Tuntutan    |    Paparan laman yang lebih baik menggunakan Internet Explorer 11 dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup