SC Kenakan Pertuduhan Ke atas Bekas Pemegang Saham Utama Maxbiz Kerana Dagangan Orang Dalam
29 Mei 2017   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengenakan pertuduhan ke atas bekas pemegang saham utama Maxbiz Corporation Bhd (Maxbiz), Datuk Andrew Leong Wye Keong, dengan empat pertuduhan dagangan orang dalam.

Andrew Leong dituduh di bawah seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) untuk melupuskan 2,131,400 unit saham Maxbiz dalam akaun anaknya pada 30 Disember 2010, dan sejumlah 8,100,000 saham Maxbiz dalam akaunnya sendiri antara 30 Disember 2010 dan 18 Januari 2011, ketika memiliki maklumat dalaman.

SC mendakwa Andrew Leong telah memperoleh maklumat dalaman tersebut dari Dato' Vincent Leong Jee Wai, Pengarah Urusan Maxbiz ketika itu. Vincent Leong sebelum ini dikenakan pertuduhan oleh SC pada 22 Mei 2017 untuk menyampaikan maklumat dalaman kepada Andrew Leong.

Maklumat material bukan awam bagi tiga pertuduhan pertama adalah berkaitan dengan pengurangan dalam ekuiti pemegang saham Maxbiz yang membawanya hampir diklasifikasikan sebagai syarikat yang berdepan masalah kewangan. Maklumat material bukan awam dalam pertuduhan keempat adalah berkaitan pengklasifikasian Maxbiz sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17). Maxbiz sebelum ini disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia sebelum dinyah senarai pada 26 Mac 2012.

Andrew Leong pada hari ini memohon untuk dibicarakan. Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Zulqarnain Hassan menetapkan ikat jamin sebanyak RM600,000 dengan dua penjamin.

Kesalahan dagangan orang dalam boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta di bawah CMSA.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup