SC kenakan pertuduhan ke atas bekas Pengarah Urusan Maxbiz kerana dagangan orang dalam
22 Mei 2017   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengenakan pertuduhan ke atas Dato’ Vincent Leong Jee Wai (Dato’ Vincent) kerana melakukan dagangan orang dalam bagi saham Maxbiz Corporation Bhd (Maxbiz).

Dato’ Vincent, 58, telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini dengan dua kesalahan kerana menyampaikan maklumat bukan awam yang material kepada Leong Wye Keong antara November 2010 dan Januari 2011 dengan mengetahui bahawa Leong Wye Keong akan melupuskan saham Maxbiz Corporation Bhd (Maxbiz). Dato’ Vincent ketika itu merupakan Pengarah Urusan Maxbiz.

Maklumat bukan awam yang material bagi pertuduhan pertama adalah berkaitan dengan pengurangan ekuiti pemegang saham Maxbiz yang hampir menyebabkan Maxbiz diklasifikasikan sebagai syarikat bermasalah kewangan. Pertuduhan kedua adalah berkenaan dengan pengklasifikasian Maxbiz sebagai syarikat di bawah Nota Amalan 17 (PN17).

Dato’ Vincent memohon untuk dibicarakan bagi kedua-dua pertuduhan. Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Puan Azian binti Othman mengenakan ikat jamin sebanyak RM250,000 dengan seorang penjamin. Dato’ Vincent turut diarahkan agar menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Di bawah seksyen 188(4) CMSA, kesalahan dagangan orang dalam boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup