Tan Giap How, 62, dituduh kerana menyampaikan maklumat dalam kepada Ng Ee Fang antara 25 September 2011 dan 20 Oktober 2011, satu kesalahan di bawah seksyen 188(3)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA). Ketika itu, Tan merupakan Ketua Wilayah, Pasaran Ekuiti di AmInvestment Bank Bhd (AmInvest), manakala Ng merupakan Ketua, Derivatif Ekuiti di AmInvest.
SC mendakwa bahawa maklumat material bukan awam yang dirujuk dalam pertuduhan tersebut adalah berkaitan dengan cadangan tawaran pengambilalihan oleh MBM Resources Bhd untuk memperoleh semua saham undian dan waran belum tebus di Hirotako, yang telah diumumkan kepada Bursa Malaysia pada 27 Oktober 2011. Hirotako, pengilang penghadang dan akustik keselamatan automotif, ketika itu disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia.
Ng, 44, dikenakan empat pertuduhan dagangan orang dalam kerana memperolehi sejumlah 1,000,000 unit saham Hirotako ketika memiliki maklumat yang sama. Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara 14 Oktober 2011 dan 20 Oktober 2011 dan adalah menurut seksyen 188(2)(a) CMSA.
SC mendakwa saham tersebut diperolehi melalui akaun milik suami Ng, Daniel Yong Chen-I. Yong, 46, dituduh kerana membenarkan Ng melaksanakan pemerolehan saham Hirotako melalui akaunnya, satu kesalahan di bawah seksyen 29A Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).
Ketiga-tiga mereka memohon agar dibicarakan atas pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka. Tan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin, dan diperintahkan agar menyerahkan passport mereka kepada mahkamah. Ng pula dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM450,000 dengan seorang penjamin manakala Yong sebanyak RM350,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah juga memerintahkan Ng dan Yong untuk melapor kepada Pegawai Penyiasat SC pada setiap bulan.
Kedua-dua kesalahan di bawah seksyen 188(2)(a) dan 188(3)(a) CMSA boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta. Kesalahan di bawah seksyen 29A SICDA boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta dan penjara tidak melebihi lima tahun.