16 Jun 2022 | Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengenakan pertuduhan terhadap bekas ahli perbankan pelaburan, Charles Chua Yi Fuan, kerana menipu empat pelabur yang mengalami kerugian berjumlah RM76,000 pada Februari 2018 hingga April 2018.
Charles, bekas Naib Presiden Pasaran Hutang di Hong Leong Investment Bank Bhd, memaklumkan kepada mangsa bahawa mereka melabur dalam skim pelaburan yang melibatkan langganan sekuriti, walhal skim tersebut tidak wujud.
Charles ditahan di Malaysia semalam dengan bantuan Pasukan Polis Diraja Malaysia dan Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (INTERPOL) selepas dihantar pulang dari Kemboja.
Berikutan penghantaran pulang oleh pihak berkuasa Kemboja, Charles dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pagi ini untuk menghadapi empat pertuduhan di bawah subseksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA). Kesalahan tersebut boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta.
Pertuduhan dibacakan di dua mahkamah berasingan hari ini. Hakim Mahkamah Sesyen Kamarudin Kamsun membenarkan ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin. Selain itu, tertuduh diarah untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan dikehendaki melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC setiap bulan. Di mahkamah yang lain, hakim Mahkamah Sesyen Sabariah Othman membenarkan ikat jamin sebanyak RM50,000. Semua syarat jaminan lain adalah sama.
SC ingin mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Polis Diraja Malaysia dan INTERPOL atas usaha dan sumbangan mereka untuk membawa pulang Charles ke Malaysia untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
SC ingin mengingatkan pelabur agar berhati-hati sebelum melabur wang mereka dan apabila mempertimbangkan peluang pelaburan. Senarai Peringatan Pelabur SC sentiasa dikemas kini untuk membimbing orang ramai untuk mengenal pasti platform, syarikat atau individu yang tidak dibenarkan / tidak berlesen. Pertanyaan lanjut boleh dibuat kepada Pejabat Pengguna dan Pelabur SC di talian: 03-6204 8999 atau e-mel: [email protected]
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA