SC kenakan pertuduhan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan APL Industries Berhad kerana dagangan orang dalam
15 Disember 2014   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari mengenakan pertuduhan terhadap tiga individu atas kesalahan dagangan orang dalam di bawah seksyen 188 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
Stanley Thai Kim Sim, 54, dikenakan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini atas kesalahan berkongsi maklumat bukan awam antara 26 Oktober 2007 dan 29 Oktober 2007 dengan Tiong Kiong Choon (Tiong), seorang remisier di sebuah syarikat broker saham.

Thai ketika itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif APL Industries Bhd (APLI), sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia Securities Bhd. Tiong sebelum ini dikenakan pertuduhan oleh SC pada 9 Disember 2014 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana menjual sebanyak 6,208,500 saham APLI pada 26 Oktober 2007 dan 29 Oktober 2007 ketika mempunyai maklumat bukan awam tersebut dengan menggunakan akaun-akaun ibu mentuanya dan ibunya.

Di samping itu, SC hari ini juga mengenakan pertuduhan terhadap Tan Bee Geok, yang ketika itu merupakan Pengarah Eksekutif Kumpulan APLI atas kesalahan berkongsi maklumat bukan awam dengan kakaknya, Tan Bee Hong, antara 23 Oktober 2007 dan 31 Oktober 2007. Satu pertuduhan juga dikenakan oleh SC terhadap Tan Bee Hong kerana menjual 350,000 unit saham APLI pada 31 Oktober 2007 yang dimilikinya dalam akaun ketika mempunyai maklumat bukan awam yang sama.

Thai, Tan Bee Geok dan Tan Bee Hong meminta untuk dibicarakan bagi setiap pertuduhan masing-masing. Hakim Mahkamah Sesyen Abdul Rashid bin Daud menetapkan ikat jamin sebanyak RM250,000 bagi Thai manakala Tan Bee Geok dan Tan Bee Hong dikenakan ikat jamin masing-masing sebanyak RM250,000 dan RM150,000.

Thai dan Bee Geok diperintahkan supaya menyerahkan pasport antarabangsa mereka kepada mahkamah masing-masing pada 3 dan 4 Februari 2015 sementara pasport Bee Hong diserahkan kepada mahkamah pada hari ini. Kes tersebut ditetapkan untuk sebutan pada 15 Januari 2015.

SC mendakwa bahawa maklumat bukan awam yang dirujuk dalam kesemua pertuduhan tersebut berkaitan dengan pelarasan audit yang dicadangkan oleh juruaudit APLI yang mengakibatkan APLI melaporkan kerugian yang lebih tinggi berjumlah RM21.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2007 berbanding keputusan belum diaudit sebanyak RM4.5 juta bagi tempoh yang sama. Pelarasan tersebut juga menyebabkan APLI dikelaskan sebagai syarikat PN17.

Kesalahan-kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman penjara mandatori tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.

Pengarah Penguatkuasaan SC, Ahmad Fairuz Zainol Abidin menyatakan bahawa penyalahgunaan maklumat dalaman boleh memberi kesan buruk kepada integriti pasaran dan keyakinan pelabur. Beliau menekankan bahawa pihak SC akan terus memantau dan menguatkuasakan secara aktif mengenai perkara ini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup