SC Kenakan Pertuduhan Terhadap CEO/Pengarah Urusan Serba Dinamik Kerana Maklumat Palsu dalam Penyata Kewangan Syarikat

- Timbalan Presiden Akaun & Kewangan Dikenakan Pertuduhan Kerana Palsukan Rekod Perakaunan Syarikat

29 Disember 2021 |  Kuala Lumpur 

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengenakan pertuduhan terhadap Dato’ Dr. Ir. Ts. Mohd Abdul Karim Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik) kerana mengemukakan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad, satu kesalahan di bawah seksyen 369(a)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Menurut pertuduhan SC yang difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, kenyataan palsu itu adalah berhubung angka pendapatan sebanyak RM6.104 bilion yang terkandung dalam Laporan Suku Tahun Keputusan Kewangan yang Digabungkan bagi Suku Tahun dan Tahun berakhir 31 Disember 2020.

Serba Dinamik, bersama seorang pengarah dan dua orang pegawai kanan telah dikenakan pertuduhan pada 28 Disember 2021 atas kesalahan sama, yang jika sabit kesalahan, membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM3 juta.

Tertuduh memohon agar dibicarakan terhadap pertuduhan yang difailkan terhadapnya. Hakim Mahkamah Sesyen Sabariah Othman membenarkan ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan dua penjamin. Dato’ Karim juga perlu melaporkan diri kepada SC mengikut syarat-syarat yang akan ditetapkan oleh SC.

SC hari ini juga telah mengenakan pertuduhan terhadap Muhammad Hafiz Othman, Timbalan Presiden Akaun & Kewangan Serba Dinamik di Mahkamah Sesyen Shah Alam, kerana memalsukan rekod perakaunan anak syarikatnya Serba Dinamik Sdn Bhd.

Muhammad Hafiz terlibat secara langsung dalam mengarahkan penyediaan dokumentasi palsu berkaitan penjualan Serba Dinamik Sdn Bhd, satu kesalahan di bawah seksyen 368(1)(b)(i) CMSA.

Tertuduh memohon agar dibicarakan terhadap pertuduhan yang difailkan terhadapnya. Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Rozilah Salleh membenarkan ikat jamin sebanyak RM200,000 dengan dua penjamin.

Jika sabit kesalahan, Muhammad Hafiz boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM1 juta.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

HUBUNGI KAMI
HOTLINE: +603-6204 8000
PAUTAN BERKAITAN
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia    |    Hubungi Kami    |    Penolak Tuntutan    |    Paparan laman yang lebih baik menggunakan Internet Explorer 11 dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup