SC Kenakan Pertuduhan Terhadap Dua Individu Kerana Aktiviti Tidak Berlesen
5 Julai 2017   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengenakan pertuduhan terhadap dua pegawai Jalatama Management Sdn Bhd (Jalatama) kerana menjalankan perniagaan yang berurusan dalam derivatif tanpa lesen.

Su Eng Kooi, 42, dan Yap Choong Seong, 42, telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini untuk menghadapi pertuduhan di bawah seksyen 58(1) yang dibaca bersama seksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA). Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara Julai 2011 dan September 2013.

Su ditahan di Kuala Lumpur awal pagi ini manakala Yap, warganegara Singapura, ditahan di Singapura pada hari Isnin dengan bantuan Polis Diraja Malaysia dan Pasukan Polis Singapura.

Tengah hari tadi, kedua-dua Su dan Yap memohon untuk dibicarakan.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zaman Mohd Noor menetapkan ikat jamin masing-masing sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin terhadap Su, dan mengarahkannya untuk menyerahkan pasport dan melapor kepada balai polis berdekatan dua kali sebeulan sehingga akhir perbicaraan. Yap telah dibenarkan ikat jamin sebanyak RM150,000 dengan dua penjamin.

Kes tersebut akan disebut pada 9 dan 8 Ogos masing-masing bagi Su dan Yap.

Kesalahan di bawah seksyen 58(1) CMSA membawa hukuman denda maksimum sebanyak RM10 juta, atau penjara bagi tempoh tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pada 2013, SC telah memberi amaran kepada orang ramai bahawa Jalatama tidak dilesenkan oleh SC untuk mendapatkan wang atau berurusan dalam derivatif, dan kemudiannya menyerbu pejabatnya dalam satu siasatan terhadap dakwaan pelanggaran undang-undang sekuriti.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup