SC Kenakan Pertuduhan terhadap Pengasas Three-A Resources Bhd dan Lima Yang Lain Kerana Kesalahan Dagangan Orang Dalam
25 Oktober 2016|   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengenakan pertuduhan terhadap enam individu atas kesalahan dagangan orang dalam di bawah seksyen 188 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Fang Chew Ham, 69, pengasas dan Pengarah Urusan Three-A Resources Bhd (3A) bersama-sama anak perempuannya dan Pengarah Eksekutif 3A, Fang Siew Yee, 36, dikenakan pertuduhan kerana menyampaikan maklumat bukan awam yang material kepada saudara lelakinya dan Pengarah Bukan eksekutif Fong Chiew Hean. Kesalahan di bawah seksyen 188(3)(a) CMSA tersebut didakwa telah dilakukan pada 5 September 2009.

Fong juga didakwa atas sembilan pertuduhan dagangan orang dalam. Dia telah memperoleh 891,000 unit saham 3A antara 7 September dan 5 Oktober 2009 melalui dua akaun di PM Securities Sdn Bhd ketika memiliki maklumat bukan awam yang material tersebut.

SC mendakwa maklumat bukan awam yang material tersebut merujuk kepada pertuduhan berkaitan usaha sama kolektif antara perniagaan 3A dan Wilmar International Limited (Wilmar) yang kemudiannya dilaksanakan melalui penempatan persendirian 20% modal saham terbitan dan berbayar 3A kepada Wilmar. Maklumat tersebut telah diumumkan kepada Bursa Malaysia pada 5 Oktober 2009.

Fang Chew Ham, Fang Siew Yee dan Fong memohon untuk dibicarakan. Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Tuan Mat Ghani Abdullah menetapkan ikat jamin sebanyak RM250,000 bagi Fong, manakala ikat jamin bagi Fang Chew Ham dan Fang Siew Yee ditetapkan sebanyak RM200,000. Ketiga-tiga tertuduh diarahkan agar menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah.

Dalam prosiding berasingan, SC turut mengenakan pertuduhan terhadap Fang Siew Yee di bawah seksyen 188(2)(a) CMSA kerana memperoleh 2,720,000 unit saham 3A. Kesalahan itu didakwa telah dilakukan antara 27 Ogos 2009 dan 5 Oktober 2009 ketika dia memiliki maklumat tersebut.

Fang Siew Yee, yang menghadapi sejumlah lapan pertuduhan, didakwa memperoleh saham 3A melalui akaun Tan Bee Geok, 62. Tan bersama-sama Fang Chew Ham dan dua peniaga OSK Investment Bank Bhd pada masa itu, Chew Lian Foon, 38, dan Ong Kok Malah, 55, didakwa bersubahat dengan Fang Siew Yee dalam melakukan kesalahan di bawah seksyen 370(c) CMSA.

Pertuduhan terhadap Fang Siew Yee, Fang Chew Ham, Tan, Chew dan Ong dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Tuan Zulqarnain bin Hassan. Kellima-lima individu memohon untuk dibicarakan. Fang Siew Yee diikat jamin sebanyak RM250,000 manakala Fang Chew Ham, Tan, Chew dan Ong telah dikat jamin sebanyak RM150,000 setiap seorang. Mereka juga diarahkan agar menyerahkan pasport mereka kecuali Tan, yang tidak memiliki pasport.

Kesalahan di bawah seksyen 188(2) dan (3) CMSA boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup