SC Kenakan Pertuduhan Terhadap Tan Siok Wan dan Lee Sin Teck kerana Memalsukan Maklumat dalam Cadangan Penyenaraian GP Ocean

Kuala Lumpur, 18 April 2007

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengenakan pertuduhan terhadap Tan Siok Wan dan Lee Sin Teck di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur 1 kerana mengemukakan maklumat mengelirukan kepada SC.

Tan Siok Wan, pengasas bersama dan Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Eksekutif GP Ocean, dan Lee Sin Teck, pengasas bersama dan Pengarah Urusan/Naib Pengerusi Eksekutif GP Ocean, dikenakan pertuduhan kerana mengemukakan maklumat mengelirukan kepada SC berkaitan dengan cadangan GP Ocean untuk penyenaraian di Papan Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.

GP Ocean mengemukakan cadangan penyenaraiannya kepada SC pada 23 Ogos 2005. Cadangan tersebut kemudiannya dipinda oleh GP Ocean dan dikemukakan semula kepada SC pada 15 Februari 2006.

Susulan daripada siasatan SC mendapati bahawa terdapat maklumat yang mengelirukan yang terkandung dalam:

  1. 'Laporan dan Penyata Kewangan Teraudit Pengarah GP Ocean 31 Januari 2006' di muka surat sembilan dan 25; dan
  2. Senarai bertajuk ‘GP Ocean Food Berhad Top Ten Customer’.

Tan Siok Wan dan Lee Sin Teck dituduh atas kesalahan di bawah seksyen 32B(1)(a)(aa) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA) yang dibaca bersama-sama dengan seksyen 138(2) SCA.

SC juga mengeluarkan saman terhadap setiausaha syarikat GP Ocean hari ini. Saman tersebut dikeluarkan terhadap GP Ocean kerana kesalahan di bawah seksyen 32B(1)(a)(aa) SCA dengan tarikh kembalian 8 Mei 2007. Kes terhadap kedua yang tertuduh hari ini juga ditetapkan tarikh sebutan pada 8 Mei 2007 bagi membolehkan pihak terbabit mengemukakan permohonan perbicaraan bersama.

Kesalahan terhadap syarikat dan individu tertuduh tersebut boleh dikenakan hukuman di bawah 32B(4) SCA dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM3 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah telah menetapkan perbicaraan kes pada 29 Oktober 2007 hingga 2 November 2007. Mahkamah membenarkan individu tertuduh dengan diikat jamin sebanyak RM500,000 seorang dengan seorang penjamin.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA 

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup