SC Kenakan Sekatan terhadap Deloitte KassimChan dan Hwang-DBS Securities Berhad kerana Gagal Jalankan Tanggungjawab Ketekunan Wajar

Kuala Lumpur, 30 Ogos 2006

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengenakan celaan awam terhadap Deloitte KassimChan (Deloitte) dan Hwang-DBS Securities Berhad (Hwang-DBS) kerana kegagalan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab ketekunan wajar dalam pengemukaan kepada SC bagi penstrukturan semula Ocean Capital Berhad (Ocean) dan kegagalan untuk memaklumkan kepada SC perubahan penting dalam perkara yang memberi kesan kepada pertimbangan SC.

Deloitte juga dikenakan sekatan yang mana SC tidak akan menerima semua jenis pengemukaan bawah seksyen 32 Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 yang mana Deloitte bertindak sebagai akauntan pelapor, bagi tempoh selama enam bulan, berkuat kuasa serta merta.

Tindakan diambil terhadap Deloitte berkaitan peranannya sebagai akauntan pelapor dan penyedia Laporan Panjang Akauntan (LFAR) bagi Pasaraya Hiong Kong Sdn Bhd (Pasaraya Hiong Kong) dan terhadap Hwang-DBS dalam keupayaannya sebagai penasihat utama bagi skim penstrukturan semula Ocean.

Penyiasatan oleh SC menunjukkan bahawa akaun teraudit Pasaraya Hiong Kong dan LFAR yang dikemukakan kepada SC berhubung skim penstrukturan semula yang dicadangkan Ocean mengandungi maklumat palsu dan mengelirukan. Ia menyatakan bahawa akaun Pasaraya Hiong Kong, sebagaimana yang telah diaudit oleh Deloitte, telah mencatatkan perolehan sebanyak RM198.7 juta dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM8.5 juta bagi tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Mac 2003.

Bagaimanapun, penyiasatan SC mendedahkan bahawa Pasaraya Hiong Kong telah melebih nyata jualannya sebanyak RM7.7 juta. Jumlah jualan terlebih nyata ini tidak mempunyai kos selaras yang berkaitan dengannya, dan oleh itu seluruh jumlah tersebut dinyatakan sebagai keuntungan. Sekiranya lebihan nyataan tersebut tidak dibuat, terdapat pengurangan ketara dalam keuntungan Pasaraya Hiong Kong, dan oleh itu memberi kesan negatif terhadap skim penstrukturan semula Ocean.

Penyiasatan SC seterusnya mendedahkan bahawa Deloitte Tax Services Sdn Bhd, ejen pencukaian bagi Pasaraya Hiong Kong, yang merupakan sebahagian daripada rangkaian firma Deloitte, menyedari sepenuhnya lebihan nyata angka jualan daripada penyiasatan cukai dan penyelesaian yang telah dibuat pada masa tertentu. Bagaimanapun, maklumat tersebut tidak dimaklumkan kepada SC oleh Deloitte.

Kegagalan Deloitte, sebagai akauntan pelapor Pasaraya Hiong Kong, untuk melaksanakan tanggungjawab ketekunan wajarnya dengan memuaskan dan untuk memaklumkan kepada SC lebihan nyataan angka jualan Pasaraya Hiong Kong, yang memberikan kesan terhadap skim penstrukturan semula Ocean, merupakan satu pengabaian tanggungjawab yang amat serius.

SC juga mendapati bahawa Hwang-DBS, sebagai penasihat utama, yang mengetahui penyiasatan cukai tersebut, telah gagal untuk membuat pertanyaan yang patut dan mengikuti penyiasatan tersebut yang telah membawa kepada maklumat lebihan nyata tersebut.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup