SC Ketuai Pasukan Petugas Antarabangsa mengenai Pasaran Modal Islam

Pengerusi SC Dilantik Semula untuk mempengerusikan Jawatankuasa Serantau Asia-Pasifik

Kuala Lumpur, 30 Mei 2002

Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia telah diberikan mandat oleh Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (IOSCO) untuk mengetuai pasukan petugas mengenai pasaran modal Islam. SC menerima mandat ini di Persidangan Tahunan dan mesyuarat IOSCO 2002 di Istanbul, Turki yang diadakan dari 18-24 Mei 2002.

Pasukan petugas tersebut akan menilai perkembangan dan implikasi pengawalseliaan mengenai pasaran modal Islam secara global dan dijangka akan mengemukakan laporannya kepada Jawatankuasa Eksekutif IOSCO awal tahun hadapan.

"Pengiktirafan yang diberikan oleh IOSCO untuk membenarkan SC mengetuai pasukan petugas ini merupakan pencapaian penting dan menggambarkan kedudukan Malaysia di kalangan pengawal selia antarabangsa serta usaha berterusannya untuk membangunkan pasaran modal Islam," kata Pengerusi SC Datuk Ali Abdul Kadir.

"Pemakaian kajian menunjukkan bahawa dana Islam berpotensi besar dalam menyumbang kepada pasaran-pasaran baru ini, yang kini sebahagian besarnya dilaburkan dalam bank-bank dan membolehkan isu-isu pengawalseliaan dikenal pasti di peringkat awal dan ditangani secara konsisten.

"Penubuhan pasukan petugas ini juga melengkapkan aspirasi Malaysia bagi pasaran modal Islam, sebagaimana yang diterangkan dalam Pelan Induk Pasaran Modal," kata beliau.

Datuk Ali menambah bahawa adalah penting sekali bagi IOSCO sebagai pihak berkuasa global mengenai hal-hal pengawalseliaan pasaran modal untuk menangani isu-isu penting berkaitan dengan bidang strategik ini.

Datuk Ali juga telah dilantik semula sebagai Pengerusi Jawatankuasa Serantau Asia-Pasifik (APRC) IOSCO di Persidangan Tahunan IOSCO 2002 tersebut, jawatan yang disandangnya sejak Mei 2000.

Datuk Ali dalam ucapannya di Persidangan Tahunan tersebut, menggesa kerjasama yang lebih erat di kalangan pasaran serantau untuk menyediakan lebih insentif bagi pelabur portfolio untuk melabur di rantau ini.

"Pasaran baru muncul mesti bekerjasama dan saling bantu-membantu sekiranya mereka ingin menarik pelabur portfolio global oleh kerana pelabur lebih berminat untuk melabur dalam portfolio serantau yang dipelbagai daripada melabur dalam sebuah negara," kata Datuk Ali.

Datuk Ali juga menyatakan bahawa walaupun pasaran baru muncul menawarkan peluang pertumbuhan menarik yang semakin bertambah bagi pelabur portfolio, pasaran ini perlu untuk lebih proaktif dan inovatif dalam usaha mereka untuk menarik pelabur sedemikian.

IOSCO juga meluluskan penerbitan laporan mengenai pasaran bon korporat yang disediakan oleh Kumpulan Kerja IOSCO mengenai Pengawalseliaan Pasaran Sekunder, yang dipengerusikan oleh Encik Ranjit Ajit Singh, Pengarah Suruhanjaya Sekuriti.

Laporan tersebut mengemukakan maklumat berguna mengenai perkembangan pasaran bon korporat di 22 bidang kuasa pasaran baru muncul dan mengenal pasti isu-isu penting berkaitan dengan perkembangan pasaran bon korporat yang teguh.

Di Persidangan Tahunan itu, IOSCO mengesahkan satu Memorandum Persefahaman (MoU) pelbagai hala bagi pengawal selia sekuriti mengenai Perundingan, Kerjasama dan Pertukaran Maklumat.

"Pengesahan MoU ini menunjukkan langkah signifikan dalam menyahut cabaran-cabaran pasaran sekuriti yang diglobalisasikan dan mewujudkan satu ukur rujuk antarabangsa bagi kerjasama dan perkongsian maklumat.

"MoU tersebut akan memudahcarakan penguatkuasaan pencabulan sekuriti lepas sempadan dan memperbaiki keupayaan untuk menguatkuasakan peraturan sekuriti sejagat," kata Datuk Ali.

MoU tersebut merupakan hasil daripada satu proses yang bermula pada bulan Oktober 2001. Berikutan kejadian 11 September, satu Kumpulan Projek Khas yang diketuai oleh En. Michel Prada, Presiden pengawal selia sekuriti Perancis, atau Commission des Opérations de Bourse, yang mana Suruhanjaya Sekuriti ialah sebagai ahli, mencari jalan bagi tindakan yang boleh diambil oleh pengawal selia sekuriti untuk mempertingkat kerjasama dan perkongsian maklumat.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup