MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi SC, Tan Sri Zarinah Anwar dan Ketua Pegawai Eksekutif QFMA, Encik Nasser Ahmad Al-Shaibi dia Lumpur.
MOU tersebut adalah bagi mengukuhkan kerjasama dan membina hubungan lebih mendalam antara pengawal selia pasaran modal Qatar dan Malaysia, dan mengulangi komitmen mereka untuk mengukuhkan penguatkuasaan rentas sempadan dan meningkatkan perlindungan pelabur secara keseluruhannya.
Tan Sri Zarinah Anwar berkata, “Dalam persekitaran kewangan yang semakin kompleks, penting bagi pengawal selia terus mengukuhkan rangkaian kerjasama mereka melalui perkongsian maklumat yang lebih besar dan kerjasama dalam membina keupayaan”.
Encik Al-Shaibi pula berkata, “MOU ini menjelaskan kepentingan pertukaran sokongan teknikal di antara badan-badan berkuasa dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kawal selia industri sekuriti. Kedua-dua badan berkuasa juga akan bekerjasama bagi menentukan keperluan latihan dan teknikal bagi pembangunan pasaran saham di kedua-dua negara, tertakluk kepada kewujudan kepakaran dan sumber-sumber yang bersesuaian.”
MoU mewujudkan kerangka bagi bantuan dan kerjasama bersama untuk memudahkan penyeliaan dan penguatkuasaan bagi pasaran modal di Malaysia dan Qatar, pertukaran pengetahuan teknikal serta kerjasama dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama di antara kedua-dua pengawal selia.
SC komited dalam mengukuhkan kerjasama antarabangsa dalam kawal selia sekuriti dan telah menandatangani 29 MoU dengan pihak pengawal selia lain sejak tahun 1994. SC juga penandatangan Memorandum Persefahaman Multilateral Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti, sebuah perjanjian perkongsian maklumat global di kalangan pengawal selia sekuriti.