SC lancar Dana Pendidikan Wakil Peniaga Bumiputera

Salah Satu daripada 10 Langkah Memajukan Pasaran Modal yang Diumum pada Mac

Kuala Lumpur, 8 Julai 2003

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini melancarkan Dana Pendidikan Wakil Peniaga Bumiputera (DPWPB) berjumlah RM5 juta yang bertujuan memperkukuh peranan wakil peniaga Bumiputera dalam pasaran modal dengan meningkatkan kemahiran profesional dan pengetahuan teknikal mereka.

“Bantuan kewangan yang disediakan oleh Dana tersebut akan membolehkan wakil peniaga Bumiputera mengikuti kursus-kursus profesional untuk meningkatkan nilai khidmat mereka dalam pasaran modal Malaysia,” kata Pengerusi SC, Datuk Ali Abdul Kadir.

DPWPB, yang diwujudkan dengan dana yang disumbangkan oleh Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), diuruskan dan ditadbir oleh SC melalui bahagian latihan dan pendidikannya, Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC). Dana tersebut buat pertama kali diumumkan pada Mac 2003 sebagai sebahagian daripada pengumuman Kerajaan mengenai 10 langkah untuk merangsang dan memperkukuh pasaran modal Malaysia.

“Dana ini akan meningkatkan bilangan wakil peniaga Bumiputera yang mempunyai kelayakan profesional dan memudahkan kemajuan kerjaya mereka dalam pasaran modal,” kata Puan Huda Ikhwan, Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (PRIBUMI).

“Inisiatif tersebut merupakan satu langkah penting dalam membangunkan modal sumber manusia berkemahiran bagi pasaran modal negara, sejajar dengan penekanan yang diberikan kepada latihan dan pendidikan dalam Pelan Induk Pasaran Modal (CMP),” kata En. Yusli Mohamed Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Securities Sdn Bhd dan Pengerusi Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia (ASCM).

Dana ini terbuka kepada semua wakil peniaga Bumiputera yang mengikuti kursus-kursus profesional berikut: Certified Financial Planner (CFP), Chartered Financial Analyst (CFA), Graduate Diploma in Applied Finance and Investment (ditawarkan oleh Permodalan Nasional Berhad), Professional Certificate in Investment Planning (ditawarkan oleh Open University), Professional Diploma in Financial Planning (ditawarkan oleh Open University) dan Diploma in Investment Analysis (ditawarkan oleh Research Institute of Investment Analysts Malaysia – RIIAM).

Satu lembaga pemegang amanah terdiri daripada SC, BSKL, ASCM dan PRIBUMI akan mengawasi pelaksanaan Dana tersebut.

Di bawah Dana tersebut, wakil peniaga Bumiputera boleh memperoleh 70 peratus pembiayaan untuk mengambil kursus dan peperiksaan yang memberikan kelayakan profesional yang berkaitan dengan pasaran modal Malaysia, sebagai contoh, Certified Financial Planner dan Chartered Financial Analyst. Sebagai satu insentif untuk menggalakkan penyertaan penuh, baki 30 peratus yang ditanggung oleh peserta akan dikembalikan selepas menyempurnakan kursus tersebut. Sebaliknya, peserta akan diminta mengembalikan jumlah yang diberikan oleh Dana tersebut sekiranya dia gagal selepas tiga kali percubaan.

Wakil peniaga Bumiputera yang berminat boleh menghubungi Jabatan Latihan SIDC di talian: (03)-6204 8573, faks: (03)-6201 5811 atau e-mel: [email protected].

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup