SC lancar laman web Pelan Induk Pasaran Modal bagi menyelaras maklumbalas dan pandangan awam

Kuala Lumpur, 27 Oktober 1999

Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah melancarkan satu laman web untuk menyampaikan maklumat dan mendapatkan maklumbalas daripada orang ramai mengenai Pelan Induk Pasaran Modal (CMP). SC selaku sekretariat kepada Jawatankuasa Strategik Pasaran Modal (CMSC) telah ditugaskan untuk mengawasi Pelan Induk tersebut.

Penubuhan laman web ini sejajar dengan objektif SC untuk melibatkan penyertaan industri di dalam merumus Pelan Induk Pasaran Modal.

"Pendekatan kami adalah untuk mendapatkan penyertaan secara langsung daripada industri yang berkaitan. Ini perlu jika Pelan Induk tersebut ingin menyediakan strategi yang jelas, kepastian terhadap halatuju polisi, insentif yang tepat bagi industri untuk kemajuan perniagaan, dan memastikan keseragaman projek-projek individu," kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Encik Ali Abdul Kadir, yang juga Pengerusi CMSC.

"Dengan wujudnya laman web ini, kami berharap orang ramai akan lebih maklum mengenai perkembangan dan kerja-kerja CMP, dan akan mempunyai tempat bagi mengemukakan pandangan dan cadangan mereka," kata beliau.

Alamat laman web tersebut adalah http://www.sc.com.my/cmp.html

Dalam mendapatkan cadangan daripada pihak awam, terutamanya peserta pasaran modal, Jawatankuasa Strategik Pasaran Modal mengharapkan pandangan-pandangan mereka mengenai Pelan Induk Pasaran Modal, termasuk objektif-objektif dan skopnya, halatuju strategik bagi pasaran modal Malaysia dan cadangan-cadangan yang khusus bagi pembangunan pasaran.

Semua cadangan boleh dikemukakan secara bertulis, melalui saluran-saluran berikut:

E-mel: [email protected]
(boleh didapati melalui laman web di atas)
Faks: (603) 653 3451
Pos:
Sekretariat Jawatankuasa Strategik Pasaran Modal
D/A Suruhanjaya Sekuriti
3 Persiaran Bukit Kiara
Bukit Kiara
50490 Kuala Lumpur
Malaysia
Cadangan-cadangan harus disertakan dengan nama pengirim, alamat dan butiran untuk dihubungi, termasuk nombor telefon untuk dihubungi pada waktu bekerja. Semua pandangan akan dirahsiakan kecuali dengan arahan pengirim.

Sebagaimana yang telah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini, Pelan Induk Pasaran Modal adalah satu pelan komprehensif bagi menentukan posisi strategik dan halatuju masa hadapan pasaran modal Malaysia untuk tempoh sepuluh tahun akan datang.

Tujuan-tujuannya termasuk menyediakan satu tunjuk arah bagi menyelaraskan pembangunan perniagaan masa hadapan, mengatasi kelemahan-kelemahan pasaran modal yang timbul ketika krisis ekonomi negara dan membantu di dalam mewujudkan pasaran modal Malaysia yang berdaya tahan dan kompetitif.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Diterbitkan bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti. Pihak media yang memerlukan bantuan, sila hubungi Jabatan Hal Ehwal Korporat di tel. no. 03-654 8513 (Ann Teoh)/ 03- 654 8625 (Soh Beng Choo) atau faks no. 03- 651 5078



Maklumat latar belakang:

Suruhanjaya Sekuriti (SC), sebuah badan berkanun yang melapor terus kepada Menteri Kewangan, diwujudkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi pengawalselia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung bagi penyeliaan dan pengawasan aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa saham dan rumah penjelasan, dan mengawalselia semua pihak yang diberikan lesen di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993.

Maklumat lanjut mengenai SC juga terdapat dalam laman web SC di www.sc.com.my.
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup