SC Lancar Pangkalan Data Terbitan Bon Dalam Talian

Memudahcarakan Pembuatan Keputusan Pelaburan yang Lebih Baik

Kuala Lumpur, 5 Disember 2005

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini melancarkan kepada para pelabur bon, sebuah pangkalan data dalam talian bagi Memorandum-Memorandum Maklumat (Information Memoranda) dan Surat-Surat Ikatan Amanah ( Trust Deeds ) bon-bon denominasi Ringgit. Pangkalan data tersebut boleh diakses di tapak web SC di www.sc.com.my.

Maklumat yang terkandung di dalam dokumen-dokumen terbitan tersebut akan membantu para pelabur bon membuat keputusan pelaburan yang termaklum dan terhitung, dan akan menggalakkan lagi aktiviti dalam pasaran modal Malaysia.

Memorandum Maklumat dan Surat Ikatan Amanah untuk suatu terbitan bon hanya diberikan kepada pelanggan utama. Kini, akses kepada dokumen-dokumen terbitan tersebut disediakan oleh SC melalui tapak webnya kepada semua 'pelabur sofistikated' yang disenaraikan dalam Jadual 2 Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Mereka yang tidak termasuk dalam kategori ini boleh memohon untuk mendapatkan akses kepada pangkalan data tersebut secara bertulis kepada:

Jabatan Pasaran Bon
Suruhanjaya Sekuriti,
3 Persiaran Bukit Kiara,
Bukit Kiara,
50490 Kuala Lumpur

Pelabur-pelabur yang akan memperoleh manfaat daripada langkah terkini SC ini termasuk pelabur-pelabur institusi seperti institusi kewangan, syarikat insurans dan pengurus dana.

Inisiatif terkini ini merupakan langkah lanjutan dalam usaha berterusan SC untuk mempertingkatkan ketelusan dalam pasaran bon, berikutan pemasukan Terma dan Syarat Utama bagi setiap terbitan bon denominasi Ringgit belum tebus di tapak web SC tahun lalu.

Para pelabur diingatkan bahawa sebarang dokumen yang dimasukkan ke dalam tapak web SC bukanlah suatu tawaran, pelawaan ataupun cadangan, tetapi adalah dokumen sejarah yang bertujuan semata-mata untuk makluman para pelabur. Para pelabur hendaklah mendapatkan nasihat bebas sebelum membuat keputusan pelaburan.

Butiran lanjut dan borang langganan untuk mengakses pangkalan data Memorandum Maklumat dan Surat Ikatan Amanah tersebut di tapak web SC boleh didapati di laman "Issuance Information" seksyen "Bond Market" di sini.

Kedua-dua Memorandum Maklumat dan Surat Ikatan Amanah akan dimasukkan dalam masa tujuh hari bekerja dari tarikh penerbitan bon, dan Memorandum Maklumat akan kekal sebagai dokumen yang hanya boleh dibaca bagi tempoh 30 hari selepas tarikh penerbitan bon. Ketika ini, Surat Ikatan Amanah bagi semua terbitan bon denominasi Ringgit belum tebus yang diluluskan oleh SC sejak Julai 2000 telah dimasukkan, sementara hanya Memorandum Maklumat terbitan bon denominasi Ringgit belum tebus yang diluluskan oleh SC sejak Januari 2005 boleh didapati dalam talian.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup