SC Lancar Pengambilan Kedua Skim Latihan Siswazah

Kuala Lumpur, 1 Oktober 2003

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengadakan perjumpaan di pejabatnya bersama 122 siswazah yang berjaya dalam pengambilan kedua Skim Latihan Siswazah Pasaran Modal (CMGTS).

Perjumpaan ini juga menandakan permulaan program selama setahun yang bertujuan meningkatkan bilangan siswazah yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan mengenai pasaran modal, dan pasaran modal yang lebih kukuh, efisien dan dinamik dalam jangka panjang.

Skim tersebut telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika bertindak sebagai Pemangku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 11 Mac tahun ini.

“Ini merupakan peluang terbaik bagi para siswazah untuk mempelajari kemahiran baru dan memperlengkap diri mereka dengan pengetahuan dan pengalaman untuk memulakan kerjaya dalam industri pasaran modal dan kewangan. Para siswazah yang berjaya menamatkan skim ini bukan hanya mendapat lebih kefahaman mengenai pasaran modal Malaysia, malah mereka juga akan berupaya menganalisis dengan lebih baik nilai produk pasaran modal, menilai risiko dan ganjaran serta menghargai tahap kecekapan teknikal yang diperlukan oleh pelbagai sektor pasaran,” kata Pengurus Besar Bahagian Sumber Korporat SC dan Pengerusi Pasukan Bertindak CMGTS, Puan Rahima Muhamad.

Para siswazah akan menjalani latihan sepenuh masa selama sebulan yang merangkumi sesi ceramah oleh pihak SC dan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) bermula dengan rangkuman kepada sistem kewangan dan ekonomi, dan diikuti dengan pengajaran pada tahap asas hingga pertengahan mengenai pasaran modal Malaysia dan subjek-subjek berkaitan seperti ekonomi, kewangan dan undang-undang sekuriti.

Pada penghujung ceramah intensif selama empat minggu, para siswazah akan menjalani latihan sambil bekerja di peringkat industri selama 11 bulan dengan salah satu daripada badan projek yang mengambil bahagian yang terdiri daripada Persatuan Bank Saudagar Malaysia, Bursa Saham Kuala Lumpur, Persekutuan Pengurus Unit Amanah Malaysia, Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia, Institut Akauntan Malaysia, Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia, Amanah Raya Berhad, Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia, Persekutuan Syarikat Awam Tersenarai Berhad, Institut Tadbirurus Korporat Malaysia, dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Badan-badan ini juga merupakan ahli Pasukan Petugas CMGTS yang menyelia pelaksanaan skim tersebut, pengambilan dan penempatan para siswazah.

“SC juga ingin mengucapkan terima kasih kepada badan-badan yang mengambil bahagian, pelbagai badan industri, para penceramah dan firma-firma individu atas sokongan dan komitmen berterusan mereka dalam projek ini, yang telah menyumbang ke arah kejayaan pengambilan pertama pada bulan April. Kami berharap mendapat sokongan berterusan mereka bagi program-program yang akan datang.”

“Maklum balas yang kami terima daripada pengambilan pertama adalah amat positif dan menggalakkan oleh kerana ramai pelatih telah ditawarkan pekerjaan tetap oleh badan-badan tersebut. Kami berharap lebih ramai lagi pelatih diserap ke dalam tenaga kerja pada akhir tempoh latihan mereka,” tambah Rahima.

Seramai 117 siswazah telah mendaftar pada pengambilan pertama pada bulan April 2003. Mereka kini sedang menjalani latihan di peringkat industri di bank-bank saudagar, syarikat unit amanah, syarikat perakaunan dan audit serta syarikat awam tersenarai.

Pemohon yang tidak berjaya mendapat tempat dalam pengambilan kali ini adalah digalakkan memohon bagi pengambilan tahun hadapan. Iklan akan disiarkan di dalam suratkhabar utama awal tahun hadapan. Maklumat lanjut mengenai CMGTS boleh didapati di sini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup