Beberapa ketua industri menghadiri pelancaran program CPE tersebut termasuk pengerusi eksekutif Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), Dato' Mohd Azlan Hashim.
Pelaksanaan program CPE akan
bermula dengan wakil peniaga dan akhirnya akan merangkumi semua kategori pemegang lesen yang lain, iaitu wakil pengurus dana, wakil penasihat pelaburan, wakil broker niaga hadapan, wakil pengurus dana niaga hadapan dan pelaburan dagangan niaga hadapan.
Encik Ali berkata, program CPE bertujuan meningkatkan kecekapan profesional semua wakil berlesen. Dalam masa jangka panjang, program tersebut diharap dapat mewujudkan budaya pendidikan dan peningkatan diri yang berterusan di kalangan wakil berlesen dalam pasaran modal.
"Adalah penting bagi wakil-wakil berlesen untuk terus mengekalkan kecekapan secara profesional dengan terus-menerus meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka. Mereka mesti mempunyai pengetahuan dan kefahaman mengenai pelbagai produk yang semakin bertambah yang mereka kendalikan atau memberikan nasihat ke atasnya, di pasaran di mana mereka menyediakan perkhidmatan ini, dan persekitaran pengawalseliaan di mana mereka beroperasi," menurut Encik Ali.
Program CPE akan dikuatkuasakan melalui mekanisme pelesenan SC. Ini bermakna wakil berlesen mesti mengumpul
20 mata CPE yang diperlukan setahun, yang dikumpul dengan menghadiri kursus-kursus yang diluluskan oleh CPE bagi membolehkan mereka memperbaharui lesen. Perantara berlesen akan memperolehi
lima mata CPE bagi kursus setengah hari dan
10 mata CPE bagi kursus melebihi setengah hari.Wakil peniaga mesti mula mematuhi syarat program CPE dari
1 Julai 2002. Sebagai peraturan am, mata CPE tidak boleh dibawa dari satu tahun kepada tahun yang lain. Walau bagaimanapun, SC memberikan satu
tempoh ehsan permulaan untuk dipatuhi pada fasa pertama pelaksanaan program tersebut. Ini bermakna wakil-wakil peniaga boleh memungut mata CPE sekarang dan menyimpannya untuk pembaharuan satu lesen selepas 1 Julai 2002.
Kumpulan pertama
kursus-kursus yang diluluskan oleh CPE sebanyak 228 akan bermula pada Februari 2001. Kursus tersebut akan dijalankan oleh 22 pengendali latihan CPE, yang termasuk Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC), bursa-bursa (Bursa Saham Kuala Lumpur dan Bursa Dagangan Sekuriti dan Sebutharga Automasi Malaysia), syarikat broker saham, badan-badan industri/profesional, institusi pengajian tinggi dan penyelaras latihan swasta.
Brosur dan risalah maklumat CPE, dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris, dan
Kalendar Latihan CPE boleh didapati di Perkhidmatan Korporat SIDC dan di syarikat-syarikat broker saham. Maklumat yang sama mengenai program CPE juga terdapat di laman web SC di
www.sc.com.my/cpe dan
laman web bursa-bursa.
Setelah menghadiri sepenuhnya setiap kursus lulus CPE, wakil-wakil berlesen akan diberikan satu doket kehadiran CPE oleh pengendali latihan CPE sebagai bukti kehadiran. Setelah mengumpul 20 mata CPE bagi pembaharuan lesen, mereka kemudiannya perlu mendapatkan surat pengakuan bertulis daripada syarikat broker saham mereka untuk menyokong permohonan pembaharuan lesen mereka. Dokumen ini bersama dengan doket kehadiran serta borang permohonan lesen hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Pelesenan SC untuk diproses.
SC menekankan bahawa hanya kursus-kursus lulus CPE yang ditawarkan oleh pengendali latihan CPE akan diperakui oleh SC untuk tujuan pembaharuan lesen. SC akan memastikan bahawa semua kursus lulus CPE memenuhi syarat-syarat kemahiran dan kecekapan wakil-wakil berlesen. Perakuan yang sama juga diberikan kepada program Dana Latihan Bumiputera (DLB) lulus CPE bagi tujuan mengumpulkan mata CPE bagi keperluan pembaharuan lesen tahunan. Walau bagaimanapun, pengumpulan mata CPE melalui pilihan ini adalah dihadkan kepada hanya satu kursus program DLB lulus CPE setiap tahun.
SC menyatakan bahawa Program CPE adalah hasil daripada perundingan terperinci pihak industri. Jawatankuasa Kerja CPE yang terdiri daripada wakil-wakil dari bursa-bursa (BSKL, MESDAQ) dan SIDC serta Jabatan Pelesenan SC telah ditubuhkan untuk menjalankan tugas-tugas menyemak dan meluluskan semua kursus CPE dan pengendali latihan CPE, untuk menentukan mata CPE yang sesuai bagi kursus yang diluluskan serta memastikan kawalan mutu.
Mengenai hal-hal polisi, sebuah kumpulan Penasihat CPE yang terdiri daripada pengurusan kanan SC, bursa-bursa dan industri telah ditubuhkan untuk mengawas dan memberi nasihat mengenai pelaksanaan program CPE di samping menggalak dan mengekalkan penerimaannya oleh peserta industri.