SC mahu lebih pengiktirafan bagi nilai pemegang saham dalam sektor korporat Malaysia

Kuala Lumpur, 10 Februari 2000

Pewujudan nilai pemegang saham mestilah diiktiraf secara lebih jelas dalam proses membuat keputusan bagi syarikat-syarikat di Malaysia demi menyediakan asas yang kukuh untuk pertumbuhan pesat dan persaingan global bagi pasaran saham tempatan, menurut Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam kenyataannya hari ini.

Sehingga kini, SC terus mengkaji jalan bagi mengendali dan menggalak pewujudan nilai jangka panjang oleh syarikat-syarikat di Malaysia serta kebertanggungjawapan korporat yang lebih terhadap pelabur awam. Antara lain, syarikat-syarikat di Malaysia digalakkan untuk merangsang kesedaran dan penyebaran kepada orang awam berhubung prestasi mereka dalam hal ini, seperti penzahiran mengenai perubahan nilai pemegang saham di dalam laporan berkala mereka. Langkah menggalakkan lebih penzahiran terhadap maklumat yang berkaitan adalah sehaluan dengan program Pengawalseliaan Berteraskan Penzahiran (DBR), iaitu suatu program berterusan SC yang baru memasuki fasa kedua pelaksanaannya. Di bawah program DBR, tanggungjawab menilai merit bagi pelaburan adalah terletak pada pelabur, berdasarkan penzahiran bahan maklumat oleh syarikat.

Antara bidang yang akan diberi penekanan lebih oleh SC berhubung penerapan pertimbangan nilai pemegang saham, sebagai sebahagian daripada seluruh fungsi pengawalseliaannya, adalah termasuk mendidik pengarah syarikat mengenai kepentingan memaksimakan nilai pemegang saham serta tanggungjawab mereka di dalam hal ini. Para pelabur dan pengurus dana juga digalakkan untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam menilai sama ada syarikat yang mereka laburi memberi keutamaan terhadap pewujudan nilai.

Sepanjang dua tahun yang lepas, krisis ekonomi dan pembaharuan selanjutnya terhadap pentadbiran korporat di Malaysia telah meningkatkan kesedaran di kalangan sektor korporat bahawa ia harus beringat dalam menjaga kepentingan pemegang saham. Di kalangan pasaran modal antarabangsa, aktivitisme pemegang saham telah melahirkan satu penggabungan matlamat perniagaan di kalangan lebih banyak syarikat: untuk memastikan pertumbuhan jangka masa panjang dengan mewujudkan nilai bagi pemegang saham. Pewujudan nilai pemegang saham melibatkan pembentukan persekitaran yang memberi keyakinan kepada pemegang saham bahawa kepentingan mereka dilindungi dalam syarikat yang mereka laburi. Ini seterusnya menjadikan syarikat tersebut satu pilihan pelaburan yang menarik – iaitu satu faktor penting bagi membolehkan sektor korporat Malaysia diletakkan pada tahap yang memungkinkan ia bersaing secara berkesan bagi menjana modal jangka panjang.

Dengan itu, bagi merangsang keyakinan bahawa pelaburan dalam syarikat di Malaysia berpotensi untuk meningkatkan kekayaan, penekanan terhadap kebajikan pemegang saham bukanlah sesuatu yang diinginkan, tetapi merupakan sesuatu yang perlu. Walaupun kepentingan untuk memaksima kekayaan pemegang saham telah diperakui dengan giatnya di dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penerimaannya sebagai satu objektif utama dalam membuat keputusan di kalangan syarikat di Malaysia masih perlu dipertingkatkan lagi.

Sehingga kini, SC ingin melihat prinsip memaksimakan nilai pemegang saham digunakan sepenuhnya demi meningkatkan amalan korporat di Malaysia ke tahap yang lebih kompetitif, dengan terus menetapkan satu rangka kerja bagi piawaian ketelusan, kebertanggungjawapan dan pengurusan prestasi yang lebih tinggi.

SURUHANJAYA SEKURITI  MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup